SEDIA KE MAHKAMAH PERTAHANKAN ISU KEMASUKAN KE UNIVERSITI AWAM - HAIM HILMAN

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah sedia berdepan sebarang tindakan perundangan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung isu kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA). 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu berkata, beliau menghormati hak KPT untuk mengambil tindakan namun tidak akan menarik balik pendiriannya berhubung isu yang disifatkan melibatkan ketelusan sistem kemasukan ke UA.

“Jika KPT memilih untuk bawa perkara ini ke mahkamah, saya sedia menjawabnya dengan data, fakta dan bukti secara terbuka.

“Sekiranya perkara ini diputuskan di mahkamah, saya yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk kebenaran,” katanya.

Pada 15 Jun, KPT memaklumkan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Haim Hilman susulan kenyataannya, berhubung terdapat UA ‘menjual tempat’ kepada pelajar berkemampuan serta wujud puluhan ribu kemasukan pelajar melalui saluran yang beliau istilahkan ‘pintu belakang’.

Menurut Haim Hilman, isu dibangkitkan beliau bukan melibatkan individu, menteri atau institusi tertentu, sebaliknya berkaitan hak generasi muda untuk memperoleh akses pendidikan tinggi yang adil, telus dan berasaskan merit.

Beliau berkata, kewujudan saluran terbuka di UA membolehkan pelajar memasuki universiti dengan membayar yuran penuh walaupun gagal memperoleh tempat melalui saluran selain Unit Pusat Universiti (UPU).

“Ia melibatkan peluang pendidikan yang adil khususnya anak muda yang ingin melanjutkan pengajian ke Universiti Awam. Saya akan terus perjuangkan ketelusan dalam sistem ini serta kebajikan pelajar. 

“Sebagai wakil rakyat dan bekas pemimpin universiti, saya bertanggungjawab untuk pertahankan hak anak-anak kita, sama ada Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak atau apa jua kaum dan etnik, khususnya golongan B40 dan M40 yang bergantung kepada ketelusan sistem UPU berasaskan merit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa KPT menjelaskan jumlah pelajar tempatan yang memasuki UA melalui saluran selain UPU setiap tahun, termasuk program terlibat khususnya program kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, farmasi dan perakaunan.

“KPT perlu jelaskan berapa ramai pelajar gagal mendapat tempat melalui UPU tetapi berjaya memasuki Universiti Awam melalui saluran terbuka dengan syarat membayar yuran penuh.

“Apakah kesan pelaksanaan ‘pintu belakang’ ini terhadap pelajar B40 dan M40 yang bersaing berasaskan merit melalui UPU,” katanya.

Beliau turut merujuk kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia (JKNCR UA) pada 25 Disember 2024, menyatakan kemasukan melalui saluran terbuka melibatkan 11,860 pelajar setahun atau sekitar 40,000 pelajar bagi tempoh empat tahun pengajian peringkat sarjana muda.

Tambah beliau, bagi sesi kemasukan 2025, seramai 109,866 calon memohon kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline namun hanya 78,883 calon atau 71.8 peratus ditawarkan tempat.

“Ini bermakna lebih 30,000 calon tidak menerima tawaran. Dalam keadaan ramai pelajar layak gagal mendapat tempat berasaskan merit, mengapa perlu diwujudkan saluran lain yang membolehkan kemasukan berdasarkan kemampuan membayar yuran penuh?” soalnya.

Haim Hilman turut membangkitkan kekurangan kolej kediaman dan asrama di UA yang menyebabkan ramai pelajar terpaksa menyewa di luar kampus dengan kos tinggi serta berdepan risiko keselamatan dan sosial.

“Kehidupan dalam kampus juga berkaitan aspek keselamatan, disiplin, pembentukan sahsiah, akses kepada kemudahan akademik dan suasana pembelajaran yang lebih baik. Mengapa isu asas seperti penginapan masih gagal diselesaikan di beberapa Universiti Awam walaupun sudah menjangkau usia puluhan tahun,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan cadangan pengurangan bajet KPT sebanyak RM2.39 bilion ketika pelbagai isu asas seperti pembinaan asrama, kapasiti program pengajian dan kebajikan pelajar masih belum diselesaikan.

Haim Hilman turut menuntut penjelasan berhubung keperluan pembayaran yuran pendaftaran sebelum pelajar dibenarkan mendaftar masuk ke UA, yang menurutnya membebankan keluarga miskin.

Katanya, KPT perlu menyelaras dasar UA supaya pelajar yang tidak mampu membayar yuran pendaftaran masih dibenarkan mendaftar terlebih dahulu sementara menunggu pinjaman pendidikan, biasiswa atau bantuan kewangan.

“Jumlah ini boleh cecah ratusan hingga ribuan ringgit. Tidak semua pelajar miskin mempunyai akses maklumat tentang bantuan zakat, tabung kebajikan, penangguhan bayaran yuran pendaftaran, pinjaman pendidikan, biasiswa atau saluran rayuan. 

“Akhirnya ada yang memilih untuk tidak mendaftar kerana sangka mereka tidak mampu melanjutkan pengajian disebabkan kekangan kewangan,” katanya.

Tegas beliau, keadaan ini tidak selari dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa pelajar miskin tidak akan dinafikan hak untuk mendaftar kerana menghadapi kekangan kewangan.

“Malangnya, kenyataan itu tidak dilaksanakan dengan baik oleh KPT dan Universiti Awam terlibat. 

Beliau turut kesal apabila KPT tidak menjawab persoalan, sebaliknya memilih untuk memberi ancaman atau tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengetengahkan isu berkenaan.

Pada program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan, Haim Hilman mendedahkan terdapat UA menawarkan tempat kepada pelajar berkemampuan selain wujud puluhan ribu pelajar memasuki IPTA melalui 'pintu belakang' atau saluran terbuka.

Post a Comment

0 Comments