Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pakar motivasi terkenal negara, Dr. Shukri Abdullah, 74, yang diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kedah 1448H/2026M menyarankan agar pendidikan dijadikan agenda utama dalam usaha melonjakkan imej dan kemajuan negeri mahupun masyarakat.
Anak jati Kampung Sungai Baru itu berkata, peningkatan taraf ilmu kalangan masyarakat merupakan kunci utama yang mampu membawa perubahan besar serta memberi kesan positif dalam jangka panjang.
“Apa yang diperlukan untuk majukan Kedah ialah ilmu. Jika taraf ilmu dipertingkatkan, ia akan beri kesan besar kepada masyarakat.
“Orang yang berilmu boleh memainkan lebih banyak peranan dan lebih mudah menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Hari ini teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) berkembang pantas dan tanpa ilmu, ramai akan ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darul Aman 1448H/2026M di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Kedah kepada Dr. Shukri yang turut menerima wang tunai RM15,000, hadiah iringan dan sijil penganugerahan.
Mengulas pengiktirafan diterimanya, bekas pensyarah Fakulti Pengajian Pembangunan Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia (USM) ini melahirkan rasa syukur dan menyifatkan anugerah tersebut sebagai amanah besar untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
“Saya bersyukur kepada ALLAH SWT atas anugerah ini, di sebalik kegembiraan itu ada cabaran lebih besar.
Pengiktirafan ini bermakna saya perlu membantu lebih ramai insan supaya kepakaran dan kemahiran yang ada dapat diperluaskan manfaatnya,” katanya.
Menurut beliau, tumpuan lebih besar perlu diberikan kepada pendidikan khususnya peringkat sekolah rendah dan menengah kerana asas kukuh pada peringkat itu akan memudahkan perjalanan ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, cabaran semasa seperti ketagihan gajet, permainan video, media sosial dan lambakan hiburan menyebabkan pelajaran serta kesedaran mengenai kepentingan ilmu semakin terpinggir.
“Ini cabaran yang perlu ditangani oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Fokus kepada pendidikan perlu dipertingkatkan lagi,” ujarnya.
Dr. Shukri turut menasihatkan golongan muda supaya mempunyai matlamat hidup yang jelas bagi mengelakkan mereka terjebak dengan aktiviti tidak bermanfaat.
Beliau berkata, kejayaannya hari ini juga bermula apabila beliau menetapkan hala tuju hidup selepas melalui pelbagai cabaran ketika zaman persekolahan dan pengajian.
“Saya bukan pelajar cemerlang ketika di sekolah rendah atau menengah. Permohonan pertama saya ke universiti ditolak kerana keputusan akademik kurang baik. Saya kemudian bekerja sebagai wartawan Utusan Melayu sebelum berjaya melanjutkan pelajaran ke USM,” katanya.
Menurutnya, kesedaran untuk berubah hadir ketika berada di USM apabila aktif dalam kepimpinan pelajar dan terlibat dalam Demonstrasi Baling 1974 sehingga ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyebabkan dirinya kehilangan biasiswa.
“Sejak itu saya berazam untuk jadi lebih baik. Saya bekerja keras sehingga berjaya dinobatkan pelajar terbaik keseluruhan universiti,” katanya.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Falsafah di University of Sussex dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari University of Essex, United Kingdom.
Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai pensyarah USM sebelum mengambil keputusan meninggalkan kerjaya akademik demi memberi tumpuan kepada bidang motivasi dan strategi pembelajaran.
Sejak 1992, beliau mengendalikan ribuan program motivasi yang memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar sekolah, kolej dan universiti di seluruh negara.
Selain aktif menerusi program televisyen dan radio, antaranya Motivasi Pagi, Selamat Pagi Malaysia dan Bijak Belajar, beliau turut menghasilkan pelbagai buku motivasi termasuk ‘Belajar Dengan Berkesan’ pada 1990 dan ‘Jadi Top Students’ pada 2025.
Dr. Shukri mendirikan rumah tangga bersama Khadijah Zakaria dan dikurniakan 10 orang anak serta 22 cucu.

0 Comments