PERTARUHKAN DUA CALON WANITA, MUKA BAHARU REBUT 11 DUN
Oleh: Roslinda Hashim
MUAR - Keputusan PAS mengurangkan jumlah kerusi ditandingi daripada 15 kepada 11 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini memperlihatkan perubahan strategi yang lebih berhati-hati apabila parti itu memilih memberi tumpuan kepada kerusi yang mempunyai potensi kemenangan lebih tinggi berbanding memperluaskan saingan.
Pendekatan itu menggambarkan kesediaan PAS berkompromi dalam agihan kerusi bersama rakan komponennya dalam Perikatan Nasional (PN), sekali gus mengelakkan pertindihan calon selain memaksimumkan peluang gabungan itu mencabar dominasi Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).
Pengumuman 11 calon PAS oleh Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Muar pada Khamis menyaksikan lebih separuh daripada calon yang diketengahkan merupakan muka baharu, selain dua calon wanita diberi kepercayaan bertanding di DUN Tenang (Normala Sudirman) dan Yuhanita Yunan di DUN Pasir Raja.
Selain mengekalkan beberapa nama berpengalaman, PAS turut mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang di Kahang, manakala penyandang DUN Maharani, Abdul Aziz Talib tidak mempertahankan kerusi yang disandangnya.
Calon lain ialah Saifullah Abdul Wahab (Jementah), Arshed Yahya @ Awang (Simpang Jeram), Mohamad Anuar Hayan (Maharani), Muhammad Amin Sailan (Sungai Balang), Halim Kepol (Semerah), Ahmad Rosdi Bahari (Seri Medan), Hasnul Hakimi Hussein (Endau), Khirul Muntanazar Ismail (Tiram).
Daripada 15 kerusi yang ditandingi pada PRN 2022, kali ini PAS melepaskan empat kerusi iaitu, DUN Pemanis, Kemelah, Tenggaroh dan Bukit Kepong, sebaliknya mencuba nasib di Simpang Jeram sebagai kerusi baharu.
Perubahan itu menunjukkan rundingan kerusi dalam PN bukan sekadar membahagikan kawasan, malah disusun berdasarkan analisis kekuatan setiap parti di sesuatu kawasan.
Dalam sidang media selepas pengumuman calon, Ahmad Samsuri menegaskan pengurangan jumlah kerusi ditandingi PAS pada PRN Johor ke-16 kepada 11 berbanding 15 kerusi pada PRN sebelumnya, tidak membawa konotasi negatif, sebaliknya diputuskan selepas mengambil kira perubahan landskap politik sejak pilihan raya lalu.
Menurut beliau, setiap parti perlu menilai semula strategi berdasarkan senario semasa kerana matlamat utama adalah memastikan kemenangan gabungan.
“Mana-mana parti yang ingin bertanding dalam pilihan raya tentulah membuat pertimbangan berdasarkan senario semasa berbanding lima atau empat tahun lalu.
“Tentulah ada pertimbangan tertentu yang telah digunakan dan saya rasa ia tidak memberi gambaran yang negatif. Kita bertanding kerana kita mahu menang dalam pilihan raya,” katanya.
Kenyataan itu dilihat memberi isyarat PN tidak lagi terlalu menumpukan jumlah kerusi yang ditandingi oleh setiap parti, sebaliknya lebih mengutamakan peluang menambah bilangan kerusi yang dimenangi secara keseluruhan.
Dalam masa sama, komposisi calon turut memperlihatkan usaha PAS melakukan proses peremajaan kepimpinan apabila majoriti calon merupakan muka baharu yang diharapkan mampu membawa pendekatan lebih segar sepanjang kempen.
Menurut Ahmad Samsuri, sebahagian daripada calon pernah bertanding sebelum ini termasuk di kerusi berbeza, namun majoritinya merupakan muka baharu.
“Daripada 11 calon ditampilkan, ada pernah bertanding dan mungkin di kerusi yang berbeza. Lebih 50 peratus daripada mereka adalah muka baharu yang akan membawa pendekatan serta tenaga baharu untuk PAS dan PN,” katanya.
Biarpun hanya dua wanita diketengahkan, penyertaan mereka memperlihatkan kesinambungan usaha PAS meningkatkan penglibatan wanita dalam politik melalui pilihan raya.
Tumpuan kini terarah kepada kemampuan strategi 'kurang bertanding, lebih berpotensi menang' itu diterjemahkan kepada keputusan di peti undi.
Sama ada pendekatan tersebut mampu memberikan pulangan lebih baik kepada PN atau sekadar menyaksikan gabungan itu mempertahankan kedudukan sedia ada, hanya akan terjawab selepas rakyat Johor membuat pilihan pada hari pengundian.
Pengumuman calon PAS diadakan serentak dengan pengumuman calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Taman Pagoh Jaya yang mempertaruhkan 16 calon.
Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing mengumumkan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Sementara, Parti Bersama mengesahkan bertanding di 15 kerusi, manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding di empat kerusi.
Parti Pejuang bertanding satu kerusi, namun Parti Wawasan Negara memutuskan tidak bertanding pada pilihan raya kali ini.
PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai dengan hari penamaan calon pada 27 Jun, manakala pengundian awal diadakan pada 7 Julai.
CALON PAS MEWAKILI PN PADA PRN JOHOR:
1.Saifullah Abdul Wahab - DUN Jementah
2.Arshed Yahya @ Awang - DUN Simpang Jeram
3.Mohamad Anuar Hayan - DUN Maharani
4.Muhammad Amin Sailan - DUN Sungai Balang
5.Halim Kepol - DUN Semerah
6.Ahmad Rosdi Bahari - DUN Seri Medan
7.Hasnul Hakimi Hussein - DUN Endau
8.Khirul Muntanazar Ismail - DUN Tiram
9.Mazlan Bujang - DUN Kahang
10.Normala Sudirman - DUN Tenang
11.Yuhanita Yunan - DUN Pasir Raja

0 Comments