MENGAPA AKU SANGGUP MELAWAN MEREKA: KERANA ANAK MISKIN ITU ADALAH AKU

 

Oleh: Dr. Haim Hilman Abdullah

Exco Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Kedah

Aku tidak pernah memilih untuk dilahirkan dalam kemiskinan. Aku juga tidak pernah memilih untuk menjadi anak yatim ketika masih di bangku sekolah. Namun takdir itulah yang membentuk seluruh perjalanan hidupku.

Duniaku ketika itu hanyalah seorang ibu yang tidak pernah mengenal erti putus asa dan seorang adik perempuan yang menjadi teman dalam segala kepayahan. Kami tidak memiliki kemewahan. 

Rumah kami tiada bekalan elektrik, tiada air paip, malah hanya menumpang di atas tanah milik orang lain. Ada malam-malam yang begitu panjang, bukan kerana gelapnya malam, tetapi kerana gelapnya masa depan yang belum pasti.

Aku pernah menjadi anak yang dipandang sepi. Anak kecil yang belajar menyembunyikan kesedihan di sebalik senyuman. Akulah anak yang dilupakan oleh pemimpinnya, dibiarkan oleh negerinya, dan ditinggalkan oleh negaranya. 

Namun dalam segala kekurangan itu, ibuku tidak pernah mengajar aku membenci kehidupan. Dia yang kupanggil Mak sering menasihatiku agar terus berdoa, terus berusaha, dan terus percaya bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan air mata orang yang sabar.

Mungkin sebab itulah, sehingga hari ini, aku tidak mampu memejamkan mata apabila melihat anak miskin kehilangan peluang untuk mengubah nasib hanya kerana kemiskinan. Setiap kali melihat seorang anak yang cemerlang tetapi terpaksa mengalah kepada keadaan, aku tidak melihat orang lain.

Aku melihat itu adalah diriku sendiri. Aku melihat rumah kecil yang pernah menjadi tempat aku membesar. Aku melihat wajah ibuku yang mengorbankan segala-galanya. Aku melihat seorang anak yang hanya mengharapkan satu peluang untuk membina masa depan.

Sebab itulah aku memilih untuk bersuara. Bukan kerana mahu nama, bukan kerana mahu pujian, apatah lagi kerana politik. Aku bersuara kerana aku tahu betapa mahalnya sebuah peluang bagi seorang anak miskin.

Kerana anak miskin itu adalah aku. Wahai anak-anak Malaysia daripada keluarga yang serba kekurangan, ketahuilah bahawa kalian tidak bersendirian. Selagi aku masih mampu berdiri, selagi suaraku masih mampu didengari, aku akan terus bersama kalian. 

Jika suatu hari nanti aku dihina, didakwa atau dijatuhkan kerana perjuangan ini, biarlah. Semua itu jauh lebih ringan daripada melihat impian anak miskin dirampas oleh sebuah sistem yang tidak memberi ruang kepada mereka.

Aku tidak takut kehilangan jawatan dan apa juga yang aku miliki hari ini. Yang paling aku takuti ialah apabila suatu hari nanti aku lupa dari mana aku datang. Aku takut kehilangan kenangan tentang rumah kecil yang sepi yang pernah melindungi tubuh kurusku dahulu.

Sesungguhnya aku takut kehilangan jati diri sebagai seorang anak miskin yang pernah menangis dalam diam tetapi tidak pernah berhenti berimpian. Ketahuilah iaitu jika aku melupakan asal usulku, maka hilanglah sebab mengapa aku berjuang.

Selagi nafas ini masih dipinjamkan oleh Allah, aku akan terus mempertahankan hak anak-anak miskin untuk mendapat peluang yang adil. Bukan peluang untuk masuk ke universiti sahaja tetapi peluang untuk kalian mengikuti program ijazah yang bernar-benar boleh mengubah kehidupan kalian dan keluarga.

Sesungguhnya perjuangan ini bukan sekadar tentang pendidikan. Perjuangan ini adalah tentang maruah, harapan dan tentang memastikan tiada lagi anak miskin yang layak terpaksa menguburkan impiannya hanya kerana dia dilahirkan miskin.

Post a Comment

0 Comments