“SAYA TIDAK AKAN BERUNDUR” - HAIM HILMAN

 

Oleh: Roslinda Hashim 

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah menegaskan beliau tidak akan berundur atau berdiam diri meskipun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini berhubung kenyataannya berkaitan isu akses pendidikan tinggi.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah itu berkata, beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada proses perundangan serta mengemukakan fakta, data dan dokumen berkaitan melalui saluran mahkamah.

Menurutnya, isu yang dibangkitkan bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya demi mempertahankan hak anak-anak Malaysia, khususnya daripada keluarga B40 dan M40 untuk memperoleh peluang pendidikan tinggi yang adil.

“Hari ini saya didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan yang saya bangkitkan mengenai isu akses kepada pendidikan tinggi.

“Isu ini mempunyai asas kukuh dan wajar dinilai berdasarkan fakta, data serta prinsip keadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas urusan pendakwaannya di Mahkamah Majistret Seremban selesai pagi tadi.

Haim Hilman turut menegaskan beliau akan terus bersuara memperjuangkan isu berkenaan walaupun berdepan tindakan undang-undang.

“Silakan lakukan apa sahaja, termasuk menggari saya, selagi kalian masih berkuasa. Dihadapkan ke mahkamah jauh lebih ringan daripada melihat ribuan anak-anak miskin terus dinafikan peluang ke universiti awam.

“Saya akan terus bersuara sehingga hak mereka dikembalikan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, telah meneliti laporan tahunan hampir 20 universiti awam dari tahun 2018 hingga kini dan mendakwa terdapat pelbagai isu lain yang akan diketengahkan bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara lebih berkualiti, adil dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“Pertuduhan hari ini sebenarnya telah membuka pintu banyak lagi isu kritikal di belakangnya. 

“Saya mungkin didakwa kerana bersuara, tetapi saya tidak akan berhenti memperjuangkan hak anak-anak Malaysia demi pendidikan yang adil, masa depan negara dan generasi akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam yang mewakilinya serta penyokong yang hadir dari seluruh negara termasuk di media sosial yang memberikan sokongan sepanjang prosiding berlangsung.

Terdahulu, Haim Hilman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mencetuskan kebimbangan awam, pada 13 Jun lalu.

Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM5,000 tanpa sebarang syarat tambahan termasuk tiada sekatan perjalanan dikenakan selain tiada larangan bersuara (gag order).

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai 2026 bagi tujuan penyerahan dokumen.

Pada 15 Jun lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Haim Hilman susulan kenyataannya berkaitan sistem kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).

Ia dikaitkan dengan kenyataan beliau bahawa terdapat universiti awam ‘menjual tempat’ kepada pelajar berkemampuan serta wujud puluhan ribu kemasukan pelajar melalui saluran yang beliau istilahkan sebagai ‘pintu belakang’.

Post a Comment

0 Comments