PRN JOHOR: MIPP CIPTA SEJARAH, PERTARUH LIMA CALON UJI PENGARUH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

JOHOR BAHRU - Kehadiran Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mempertaruhkan lima calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menandakan satu lagi fasa baharu dalam strategi Perikatan Nasional (PN) untuk memperluaskan sokongan merentasi kaum, khususnya kalangan pengundi India.

Buat julung kalinya MIPP menyertai pilihan raya sejak ditubuhkan, ia bukan sekadar menguji kekuatan sendiri, malah menjadi kayu ukur sama ada parti komponen baharu PN itu mampu diterima pengundi di kawasan yang mempunyai komposisi masyarakat majmuk.

Presidennya, P. Punithan menyifatkan penyertaan tersebut sebagai detik bersejarah buat parti itu apabila diberi kepercayaan bertanding di bawah panji PN.

Lima kerusi yang ditandingi MIPP ialah Pemanis (Dr. A. Arvind), Paloh (D. S. Jeevakumar), Permas (T. Vela), Kota Iskandar (S. S. Anna Pravina) dan Bukit Permai (M. Lina Manoh).

Pemilihan kerusi-kerusi itu juga dilihat dibuat secara terperinci kerana kebanyakannya mempunyai kelompok pengundi bandar atau separa bandar dengan peratusan pengundi India yang mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya.

Penyertaan MIPP turut memperlihatkan kesediaan PN memberi ruang kepada parti komponen yang lebih kecil untuk membuktikan kemampuan mereka di medan sebenar, sekali gus mengukuhkan naratif bahawa gabungan itu semakin bersifat inklusif.

Bagaimanapun, cabaran terbesar MIPP ialah membina pengaruh dalam tempoh singkat kerana parti itu masih baharu dalam landskap politik negara dan belum pernah diuji melalui pilihan raya.

Pada masa sama, prestasi lima calon tersebut akan menjadi penanda aras sejauh mana strategi PN menampilkan kepelbagaian kaum mampu diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.

Sekiranya berjaya mencatat keputusan memberangsangkan, MIPP bukan sahaja berpotensi memperkukuhkan kedudukannya dalam PN, malah membuka ruang lebih besar untuk memainkan peranan pada pilihan raya akan datang. 

Sebaliknya, jika gagal menembusi kubu lawan, parti itu masih memperoleh pengalaman penting sebagai asas membina kekuatan organisasi dan akar umbi pada masa hadapan.


CALON MIPP MEWAKILI PN PADA PRN JOHOR:

1.Dr. A. Arvind - DUN Pemanis 

2.D. S. Jeevakumar - DUN Paloh 

3.T. Vela - DUN Permas 

4.S. S. Anna Pravina - DUN Kota Iskandar 

5.M. Lina Manoh - DUN Bukit Permai

Post a Comment

0 Comments