Oleh: Roslinda Hashim
MUAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempertaruhkan 16 calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menyaksikan strategi menggabungkan pengalaman pemimpin lama dengan suntikan pemimpin muda dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Perikatan Nasional (PN).
Barisan calon yang diumumkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh pada Khamis memperlihatkan beberapa nama berprofil tinggi kembali diberi kepercayaan, termasuk bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal; bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain.
Pencalonan mereka memberi isyarat bahawa BERSATU mahu memanfaatkan pengalaman tokoh yang mempunyai rekod pentadbiran dan pengaruh di kawasan masing-masing bagi meningkatkan daya saing gabungan itu.
Lebih menarik, parti itu turut menampilkan kesinambungan kepimpinan apabila gabungan dua beranak, Rasman kembali dicalonkan di DUN Sedili, sementara anaknya, Mohamad Alias diberi kepercayaan bertanding di Panti.
Langkah tersebut mencerminkan usaha parti itu menggabungkan pengalaman pemimpin lama dengan kepimpinan generasi baharu, khususnya apabila Mohamad Alias merupakan Ketua Armada BERSATU Johor.
Turut mencuri perhatian ialah kemunculan Mohd. Rashid Hasnon di DUN Senggarang. Pengalaman beliau sebagai bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat dijangka menjadi antara aset utama BERSATU dalam menghadapi persaingan di kawasan tersebut.
Sementara itu, Sahruddin sekali lagi diberi tanggungjawab mempertahankan DUN Bukit Kepong yang dimenanginya pada pilihan raya lalu. Keputusan itu menunjukkan keyakinan parti terhadap bekas
Menteri Besar tersebut untuk mengekalkan pengaruh BERSATU di kawasan berkenaan.
Selain mempertaruhkan tokoh berpengalaman, senarai calon BERSATU turut memperlihatkan keseimbangan dengan menampilkan beberapa muka baharu termasuk Uzzair Ismail (Kemelah), Syafiq Aziz (Semarang), Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (Parit Raja) dan Muhamad Amerul Muhamad (Tenggaroh).
Pencalonan Aisah Esa di Johor Lama dan Lim Chin Eng di Stulang pula menunjukkan usaha parti itu memperluaskan kelompok calon merentasi pelbagai latar belakang bagi menarik sokongan pengundi di kawasan bandar dan luar bandar.
Secara keseluruhannya, strategi BERSATU pada PRN Johor kali ini dilihat tidak hanya bergantung kepada populariti pemimpin berpengalaman, sebaliknya turut memberi ruang kepada pelapis parti untuk membuktikan kemampuan mereka.
Gabungan calon veteran dan generasi muda itu dijangka menjadi antara faktor yang akan menentukan sejauh mana BERSATU mampu membantu PN meningkatkan pencapaian dalam PRN Johor ke-16.
CALON BERSATU MEWAKILI PN PADA PRN JOHOR:
1.Uzzair Ismail - DUN Kemelah
2.Datuk Dr. Sahruddin Jamal - DUN Bukit Kepong
3.Idzhar Nasirruddin - DUN Bukit Pasir
4.Mahfidz Omar - DUN Serom
5.Mohd. Radzi Amin - DUN Bukit Naning
6.Syafiq Aziz - DUN Semarang
7.Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee - DUN Parit Raja
8.Datuk Mohd. Rashid Hasnon - DUN Senggarang
9.Syed Mohamad Syed Alwi - DUN Rengit
10.Abd. Mutalip Abd. Rahim - DUN Layang-Layang
11.Muhamad Amerul Muhamad - DUN Tenggaroh
12.Mohamad Alias Rasman - DUN Panti
13.Rasman Ithnain - DUN Sedili
14.Aisah Esa - DUN Johor Lama
15.Fairulnizar Rahmat - DUN Penawar
16.Lim Chin Eng - DUN Stulang

0 Comments