CALON TUNGGAL PEJUANG BAWAH PENGARUH PN, JADI MEDAN UJIAN DI GAMBIR

 

Oleh: Roslinda Hashim 

TANGKAK - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mempertaruhkan Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman sebagai calon tunggal parti itu, sekali gus menjadikan Gambir satu-satunya kerusi yang diwakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tumpuan kini terarah sepenuhnya kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang dianggap medan menguji kekuatan sebenar parti tersebut di bawah panji Perikatan Nasional (PN).

Menurut Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, keputusan memberikan satu kerusi kepada Pejuang dibuat berdasarkan persefahaman dalam gabungan itu, sambil menyifatkan peluang untuk menang adalah cerah hasil kerjasama semua parti komponen PN.

"Ini satu-satunya kerusi yang kita bertanding di Johor. Kita merasakan dengan gandingan bersama parti komponen dalam PN, peluang untuk menang cerah," katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Mukhriz turut menyeru seluruh jentera Pejuang dan PN berganding bahu bagi membantu kempen Suraya di Gambir, selain optimis PN masih berpeluang membentuk Kerajaan Negeri jika berjaya meyakinkan pengundi.

“Itu bukanlah satu perkara yang mustahil, tetapi kita mesti bekerja keras untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Pemilihan Suraya turut memberi isyarat bahawa Pejuang menampilkan calon wanita sebagai wajah parti pada PRN kali ini, khususnya dalam membawa isu kos sara hidup yang dilihat lebih dekat dengan kehidupan rakyat.

"Saya rasa tiada masalah meletakkan calon wanita kerana dalam isu kenaikan kos sara hidup, golongan ini lebih memahami situasi dihadapi. Jadi tanpa ragu-ragu saya menyokong Suraya untuk perjuangkan isu tersebut," kata Mukhriz.

Suraya merupakan anak tempatan yang aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain berpengalaman memperkasa wanita, belia dan institusi keluarga menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Beliau yang juga usahawan dalam bidang kesihatan dan kecantikan disifatkan mempunyai pengalaman dalam advokasi politik serta kepimpinan di peringkat akar umbi.

Walaupun hanya diberikan satu kerusi, Gambir kini menjadi pentas penting buat Pejuang membuktikan nilai politiknya dalam PN. 

Kemenangan Suraya bukan sekadar menambah satu kerusi kepada gabungan itu, malah boleh mengukuhkan kedudukan Pejuang sebagai komponen baharu yang mampu menyumbang kemenangan.

Sebaliknya, jika gagal mempertahankan keyakinan pengundi di satu-satunya kerusi ditandingi, ia akan mengundang persoalan mengenai sejauh mana pengaruh sebenar Pejuang selepas menyertai PN serta kedudukannya dalam pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang.

Bagi PN pula, strategi mengagihkan hanya satu kerusi kepada Pejuang menunjukkan gabungan itu masih berhati-hati mengimbangi kekuatan setiap parti komponen, namun tetap memberi ruang kepada parti baharu membuktikan kemampuan mereka di medan pilihan raya.

Penyertaan Pejuang dalam PRN Johor kali ini turut membawa makna tersendiri apabila parti itu baru sahaja diterima secara rasmi sebagai anggota PN bersama Parti Cinta Malaysia (PCM/Wawasan Negara), sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap politik gabungan itu.

Setakat ini, PN telah mengumumkan calon bagi 33 daripada 56 kerusi DUN yang ditandingi pada PRN Johor, dengan agihan melibatkan 16 kerusi kepada BERSATU, 11 diwakili PAS, lima kerusi diwakili Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan satu kerusi kepada Pejuang.

Pengumuman kesemua calon-calon dibuat dalam empat majlis berasingan parti masing-masing pada Khamis.

Post a Comment

0 Comments