PN SOKONG PRN, PRU16 DIADAKAN SERENTAK, TERMASUK DI NEGERI SG4

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyokong saranan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi menjimatkan kos serta memudahkan urusan.

Beliau berkata, PN juga tidak menolak kemungkinan negeri-negeri di bawah gabungan SG4 turut mengadakan pilihan raya secara serentak.

“Nada saya sama, iaitu diadakan serentak (PRN dan PRU16),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRU16 PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, pada Jumaat.

Ahmad Samsuri berkata, langkah itu bukan sahaja memudahkan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malah jentera pilihan raya serta anggota keselamatan yang bertugas sepanjang tempoh pilihan raya.

“Jika tidak, seolah-olah sepanjang tahun kita hanya memberi tumpuan kepada pilihan raya sahaja,” katanya. 

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian bagi menyokong saranan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengharapkan agar PRN di negeri-negeri yang belum dibubarkan dapat diadakan serentak dengan PRU16.

Pada sidang media sama, Sanusi berkata, pelaksanaan kedua-dua pilihan raya secara serentak dapat mengelakkan pengundi terpaksa pulang ke kampung halaman sebanyak dua kali selain menjimatkan masa, tenaga dan perbelanjaan pelbagai pihak.

“Saya harap begitu, PRN diadakan sekali dengan PRU16. Tak perlu buat dua kali pilihan raya. Pengundi tidak perlu pulang ke kampung halaman dua kali untuk mengundi. Banyak perkara boleh dijimatkan dari segi masa, tenaga dan kos,” katanya.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, cadangan mengadakan PRN dan PRU16 secara serentak pernah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mendapat persetujuan secara prinsip.

“Saya pernah bincang dengan Perdana Menteri mengenai perkara ini dan beliau setuju. Soal tarikh boleh dibincangkan kemudian,” katanya.

Post a Comment

0 Comments