PN KEKAL HADAPI PRU16, BELUM ADA KEPUTUSAN BENTUK JAJARAN POLITIK BAHARU

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) akan terus berfungsi seperti biasa dan kekal menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), meskipun belum ada sebarang keputusan berhubung pembentukan jajaran politik baharu susulan penamatan kerjasama politik antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini gabungan itu masih berfungsi seperti biasa dan sebarang keputusan berkaitan penyusunan semula kerjasama politik akan dibuat selepas melalui proses penelitian dan analisis menyeluruh.

“Dalam proses kita menghadapi PRU16, pelbagai analisis dan penelitian dilakukan di semua peringkat. Buat masa ini belum ada apa-apa keputusan mengenai jajaran politik baharu, kerjasama politik baharu atau penyusunan semula gabungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRU16 PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, pada Jumaat.

Mengulas mengenai kemungkinan wujudnya pembentukan Muafakat Nasional (MN 2.0), Ahmad Samsuri memaklumkan, perkara itu juga belum diputuskan.

Menurut beliau, PN masih mempunyai kekuatan tersendiri sebagai sebuah jenama politik yang kukuh kalangan pengundi selepas melalui beberapa siri pilihan raya termasuk PRU, pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK).

“PN ialah satu jenama yang sudah established. Begitu juga jenama PAS sudah established dan telah melalui banyak pilihan raya. Bagi saya, tidak ada masalah untuk hadapi pilihan raya,” katanya.

Ahmad Samsuri yakin kemelut yang berlaku dalam PN pada ketika ini akan dapat diselesaikan sebelum berlangsungnya pilihan raya.

“Insya-ALLAH, kita akan cuba selesaikan,” katanya.

Ditanya sama ada Gerakan Reset yang diasaskan bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah mengemukakan permohonan menyertai PN, beliau jelaskan, setakat ini tiada permohonan diterima.

“Setakat ini tiada permohonan daripada Reset,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, PN sentiasa terbuka menerima mana-mana parti yang berminat menyertai gabungan itu bagi menghadapi PRU16.

“Kita tunggu jika ada pihak yang mahu bersama PN. Mereka boleh kemukakan permohonan termasuk parti BERSAMA (dipelopori Datuk Seri Rafizi Ramli),” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, perbincangan tidak rasmi antara pemimpin pelbagai parti politik merupakan perkara biasa, dan tidak boleh dianggap sebagai petunjuk kepada pembentukan kerjasama atau gabungan politik baharu.

“Perbincangan antara parti-parti politik selalu berlaku. Dengan UMNO kita ada perbincangan, dengan DAP secara tidak rasmi pun ada, kerana masing-masing mempunyai kepimpinan dalam kerajaan. Tiada apa-apa keputusan dibuat oleh mana-mana parti termasuk Reset,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan PAS menghadapi PRN Johor selepas hubungan kerjasama politik dengan BERSATU ditamatkan, beliau berkata, parti itu akan mengadakan perbincangan di peringkat kepimpinan tertinggi minggu depan bagi menentukan hala tuju dan strategi pilihan raya.

“PAS sudah tidak mempunyai hubungan kerjasama politik dengan BERSATU. Jadi perbincangan akan dilakukan antara komponen yang masih ada dalam PN.

“Sebarang keputusan berkaitan akan dibincangkan dalam PAS terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat mesyuarat PN untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ditanya sama ada PAS akan menggunakan logo parti sendiri pada pilihan raya akan datang, Menteri Besar Terengganu itu jelaskan, perkara itu juga akan diputuskan dalam perbincangan minggu depan.

“Keadaan kali ini agak luar biasa berbanding pilihan raya sebelum ini. PAS akan lebih teliti dalam membuat penilaian bagi menentukan pendekatan terbaik untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Post a Comment

0 Comments