“TENTUKAN KERJASAMA POLITIK SEBELUM UMUM SASARAN KERUSI” - SANUSI
Oleh: Roslinda Hashim
BUKIT KAYU HITAM - PAS mengakui terlalu awal untuk meletakkan sasaran jumlah kerusi yang mampu dimenangi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, ketika spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama baharu Muafakat Nasional (MN) 2.0 terus hangat diperkatakan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perbincangan mengenai kedudukan PAS dan strategi menghadapi PRN Johor telah diadakan, namun parti itu belum bersedia membuat sebarang sasaran rasmi.
“Semalam ada bincang isu ini. Terlalu awal untuk beri komen,” katanya ketika ditanya sama ada PAS mampu menembusi kubu tradisi UMNO di Johor.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Kilang Baharu DXN Industries (M) Sdn. Bhd. di Kawasan Industri Bukit Kayu Hitam Fasa 3, hari ini.
Dalam PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi DUN, iaitu satu oleh PAS dan dua oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Negeri selepas menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi.
Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah turut memberi bayangan bahawa fokus PAS ketika ini adalah menentukan bentuk kerjasama politik terlebih dahulu sebelum membincangkan sasaran kerusi.
“Mesyuarat PN esok akan menentukan sama ada rancangan itu akan berjalan atau sebaliknya,” katanya.
Perkembangan itu adalah susulan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini memaklumkan parti itu akan membuat keputusan berhubung kerjasama dengan BERSATU dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada Isnin (esok).
Menurut beliau, Majlis Syura Ulamak PAS telah menyuarakan kebimbangan terhadap krisis dan konflik dalaman BERSATU yang dikatakan boleh menjejaskan kekuatan serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju PN.
Spekulasi mengenai kebangkitan semula MN 2.0 pula semakin rancak diperkatakan apabila beberapa tokoh politik mula menyuarakan keperluan penyatuan politik Melayu dan umat Islam menjelang beberapa PRN.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata, sudah tiba masanya MN 2.0 dijayakan bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu dan umat Islam menjelang beberapa PRN yang bakal berlangsung.
Sementara Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa turut menyokong usaha tersebut dengan menyifatkan terdapat persamaan antara gagasan MN dan konsep Rumah Bangsa yang dibawa UMNO, iaitu menekankan persefahaman serta penyatuan politik.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan Johor berpotensi menjadi model baharu penyatuan politik parti-parti Melayu melalui kerjasama antara PAS, UMNO dan Gerakan RESET.
Menurutnya, gabungan sedemikian mampu membentuk Kerajaan Negeri yang menjadi contoh kepada landskap politik nasional berteraskan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Cadangan MN 2.0 dan penyatuan parti-parti Melayu kini menjadikan Johor dilihat sebagai medan ujian paling realistik.
Buat masa ini, hala tuju sebenar kerjasama PAS dengan BERSATU atau kemungkinan pembentukan formula baharu bersama UMNO dijangka hanya akan menjadi lebih jelas selepas mesyuarat kepimpinan PN dan PAS dalam tempoh terdekat.

0 Comments