Oleh: Wan Rohimi bin Wan Daud
Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat
1. Perlembagaan Perikatan Nasional hanya mengandungi 19 mukasurat. Ringkas, jelas dan padat.
Kemasukan Parti Anggota
1. Satu frasa sahaja yang berkaitan dengan kemasukan Parti Anggota yang baharu – iaitu Fasal 6.2(v):
6.2 Parti Anggota terdiri daripada:
(v) lain-lain parti politik yang dipersetujui secara majoriti oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi supaya diterima menjadi Parti Anggota Perikatan Nasional.
1. Jika ada permohonan dari mana-mana parti politik, ada persetujuan MAJORITI ahli-ahli Majlis Tertinggi, maka parti politik untuk akan menjadi Parti Anggota PN.
Pemecatan Parti Anggota, Kuasa Siapa?
1. Dalam bab pemecatan Parti Anggota (jika ada cadangan), Fasal-Fasal berikut boleh diteliti sebaiknya.
Fasal 15: TATATERTIB
Majlis Tertinggi mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana Parti Anggota, Anggota, Ahli Bergabung dan Ahli Bersekutu dengan memberi amaran, menggantung atau memecat mana-mana Parti Anggota, Anggota, Ahli Bergabung dan Ahli Bersekutu yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan Perikatan Nasional.
FASAL 7A: MAJLIS PRESIDEN
Majlis Presiden hendaklah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad mengenai:-
(a) ….
(b) ….
(c) perkara berkaitan disiplin Parti Anggota, dan
FASAL 7A.4
Keputusan Majlis Presiden hendaklah diputuskan secara konsensus. Setiausaha Agung hendaklah bertindak sebagai setiausaha kepada Majlis Presiden tanpa memiliki undi.
FASAL 8.4.(iii): TUGAS, KUASA DAN TANGGUNGJAWAB MAJLIS TERTINGGI
(iii) memutuskan langkah-langkah tatatertib terhadap mana-mana Parti Anggota, Anggota atau Ahli.
(vi) mewujudkan satu Jawatankuasa Tatatertib yang bertanggungjawab terhadap disiplin Parti Anggota, Anggota atau Ahli.
FASAL 13: KEPUTUSAN
Keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi hendaklah dibuat secara majoriti oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi di mana setiap ahli Majlis Tertinggi masing-masing mempunyai satu (1) undi di mana Pengerusi tidak dikehendaki untuk mengundi. Namun, jika sekiranya keputusan yang dibuat didapati seri, maka Pengerusi mempunyai satu (1) undi pemutus.
1. Justeru, pemecatan mana-mana Parti Anggota boleh dimulakan dengan prosiding tatatertib melalui Fasal 15 Perlembagaan PN.
2. Untuk tujuan itu, satu Jawatankuasa Tatatertib boleh ditubuhkan oleh Majlis Tertinggi melalui kuasa yang diperuntukkan dalam Fasal 8(vi) Perlembagaan PN.
3. Keputusan tatatertib samada untuk memberi amaran, menggantung atau memecat Parti Anggota boleh dibuat oleh Majlis Tertinggi melalui Fasal 8.4(iii).
4. Jika Majlis Tertinggi membuat Keputusan secara MAJORITI bahawa sesuatu Parti Anggota dipecat – maka terPECAT lah keanggotaan parti politik itu sebagai anggota PN.
5. Tiada istilah “founding member” dalam Perlembagaan PN.
10.Adakah pemecatan Parti Anggota akan hanya berkuatkuasa selepas diendors oleh Majlis Presiden?
1. TIDAK sama sekali. Pemecatan ini jika berlaku, akan terus berkuatkuasa sepenuhnya – sehinggalah diakas atau diubah oleh Majlis Presiden.
2. Fasal 8.4(iii) tidak mempunyai apa-apa caveat atau proviso. Ia jelas.
3. Tiada istilah veto. Atau mana-mana seorang dari anggota Majlis Presiden boleh memveto Keputusan Majlis Tertinggi.
4. Titik.
5. Selesai peringkat itu.
Dimana Kuasa Majlis Presiden?
1. Di mana kuasa Majlis Presiden dalam bab tatatertib Parti Anggota?
2. Kita patah balik kepada Fasal 7A dan Fasal 7A.4 di atas.
3. Pertama, perlu diingat bahawa semua Keputusan Majlis Presiden hendaklah dibuat secara KONSENSUS, SEBULAT SUARA.
4. Ia bertentangan dengan keputusan membuat keputusan secara MAJORITI yang dimiliki oleh Majlis Tertinggi.
5. Kedua, keputusan Majlis Tertinggi yang berkenaan, yang diangkat ke Majlis Presiden, sifatnya adalah RAYUAN.
6. Walau pun perkataan rayuan tiada dalam Perlembagaan PN. Tetapi konteksnya begitu.
7. Dalam lanskap politik semasa, Majlis Presiden hampir mustahil dapat membuat apa-apa Keputusan secara KONSENSUS.
8. Secara mudahnya – Majlis Presiden kelihatan lumpuh sepenuhnya.
9. Justeru sukar untuk Majlis Presiden membuat apa-apa Keputusan secara KONSENSUS.
10. Apa jadi jika Majlis Presiden gagal membuat Keputusan secara konsensus dalam bab pemecatan Parti Anggota (atau apa-apa isu lain)?
11. Makanya – tiada keputusan oleh Majlis Presiden.
12. Ketiadaan keputusan Majlis Presiden tentulah TIDAK BOLEH MEMBATALKAN keputusan yang telah dibuat secara sah dibuat oleh Majlis Tertinggi.
13. Jadi, keputusan Majlis Tertinggi akan kekal berkuatkuasa.
14. Noktah.
Kuasa Majlis Presiden berkaitan Agihan Kerusi Pilihan Raya.
1. Kita sama-sama lihat Fasal 7A.1(b)
(b) ketetapan kerusi pilihan raya yang dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi;
1. Di sana ada Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
2. Jawatankuasa Rundingan Kerusi ditentukan oleh Majlis Tertinggi PN.
3. Fasal 7A.1(b) memiliki CAVEAT.
4. Caveatnya – ketetapan kerusi pilihan raya YANG DIRUJUK oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
5. Jelas. Kerusi-kerusi yang DIRUJUK sahaja.
6. Pengalaman lalu – kerusi-kerusi yang dirujuk untuk konsensus Presiden-Presiden Parti Anggota hanya melibatkan kerusi-kerusi bermasalah, bertindih dan gagal dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
7. Jadinya – jika tiada apa-apa rujukan, maka Majlis Presiden tiada keperluan membuat apa-apa keputusan.
8. Maka untuk mengatakan bahawa agihan kerusi hanya ditentukan oleh Majlis Presiden, tentunya jauh tersasar.
9. Erkkk… lupa pula nak tanya. Siapa yang berkuasa tandatangan watikah calon PN?
Sekian saja nota saya – yang tentunya berbeza dengan sebahagian lain yang gemar membuat bising.
Selamat Tahun Baharu Maal Hijrah
1 Muharram 1448 H | 17 Jun 2026

0 Comments