PAS YAKIN PN KEKAL DIPIMPIN AHMAD SAMSURI, SEDIA HADAPI PRU16

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - PAS yakin kedudukan Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan terus kekal sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) meskipun pelbagai dakwaan dan persepsi negatif cuba dimainkan bagi melemahkan gabungan itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha menjatuhkan imej PAS dan PN dilihat semakin ketara kerana gabungan itu dilihat mempunyai keupayaan untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, PAS yang kini menerajui kepimpinan PN melalui Ahmad Samsuri turut berdepan pelbagai serangan politik yang didorong oleh rasa cemburu dan kebimbangan pihak tertentu.

“Dengar janji saya ini, Pengerusi PN daripada PAS ini akan kekal sehingga kita masuk pilihan raya akan datang dan beliau akan menjadi pemimpin negara ini.

“Kita dihentam macam-macam cerita direka seboleh-boleh nak datangkan wajah buruk kepada PAS. PN runtuh masa PAS jadi pengerusi, gambaran itu yang sedang diusahakan oleh segelintir pihak. 

“Namun PAS tetap bersama parti-parti rakan dalam PN. Alhamdulillah sehingga hari ini Ahmad Samsuri masih lagi Pengerusi PN dan kami akan bawa PN menghadapi PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRU16 PAS Kedah yang disempurnakan oleh Ahmad Samsuri di Kompleks PAS Kedah di sini, pada Jumaat.

Sanusi yang juga Bendahari PN berkata, Ahmad Samsuri merupakan pemimpin yang mempunyai rekod bersih berbanding kebanyakan pemimpin lain yang sering menjadi sasaran kritikan dan kontroversi.

“Cuba senaraikan semua pemimpin lain, adakah layak sebab semua ada rekod, ada sejarah, ada bukti kegagalan dan pencapaian masing-masing. Pakat ada kudis semua. 

“Yang tidak ada kudis ialah Pengerusi PN sekarang. Maka orang cemburu, orang marah dan orang susah hati. Mahu tidak mahu mereka cuba menjatuhkan beliau,” katanya.

Pengerusi PN Kedah itu tegaskan PAS akan terus memimpin PN dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan serta PRU16 dengan matlamat membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Saya kurang-kurang jadi Menteri Dalam Negeri,” katanya berseloroh sebelum menegaskan pemimpin PAS tidak menuntut jawatan dan menerima amanah diberikan dengan ikhlas.

Tambah beliau, PAS akan memainkan peranan penting membantu gerak kerja pilihan raya di beberapa negeri termasuk Melaka yang dijangka mengadakan PRN selepas Johor dan Negeri Sembilan.

“PAS Kedah diberi tanggungjawab membantu pilihan raya negeri Melaka. Tidak lama lagi semua jentera PAS Kedah akan berduyun-duyun ke Melaka untuk bantu memenangkan PAS di negeri itu.

“Melaka belum bubar lagi, tarikh matang bubar DUN pada Disember 2026. SPR baru menentukan dua pilihan raya negeri, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menempelak sikap individu tertentu yang hanya menjadi ‘pembidak catur’ dan gemar mengatur orang lain tanpa melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Jangan jadi pembidak catur yang kerja hanya mahu mengatur orang. Tegur sana, tegur sini tetapi dia sendiri tidak buat apa-apa. Ia tidak ada dalam kamus perjuangan kita,” katanya.

Post a Comment

0 Comments