Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Setiap keputusan penting dibuat secara kolektif melalui proses perbincangan menyeluruh dan bukan ditentukan oleh mana-mana individu atau kumpulan tertentu yang mempunyai kuasa veto.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dakwaan kononnya terdapat pihak tertentu dalam PAS yang boleh membatalkan atau menentukan keputusan parti secara bersendirian adalah tidak benar.
“Tidak ada kuasa veto dalam kepimpinan PAS. Saya bangkitkan perkara ini kerana ada suara-suara nakal di luar sana yang menyebut dalam PAS ada pihak tertentu membuat keputusan dan boleh divetokan oleh pihak tertentu.
“Sebarang keputusan sama ada berkait gerak kerja, strategi, prinsip atau dasar parti dibuat secara kolektif selepas melalui proses perbincangan yang panjang serta mengambil kira pelbagai maklumat dan pandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah di sini, malam tadi.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, setiap keputusan parti dibuat berdasarkan data, kajian dan analisis yang diperoleh daripada pelbagai pihak termasuk kepimpinan negeri-negeri sebelum dibawa ke peringkat tertinggi untuk dimuktamadkan.
“Ini cara kita. Setiap keputusan dibincangkan dengan mendalam dan mengambil kira pelbagai aspek,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan sama turut digunakan dalam membuat keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Bagaimanapun, tegasnya, PAS kekal komited bersama PN dan akan terus memainkan peranan memimpin gabungan tersebut menghadapi pilihan raya akan datang, seterusnya menerajui negara ini.
Mengulas pelbagai persoalan susulan perkembangan politik dalam PN, Ahmad Samsuri berkata, masih terlalu awal untuk menentukan beberapa perkara termasuk kedudukan PN, bentuk kerjasama politik pada masa depan serta penggunaan logo untuk hadapi pilihan raya negeri (PRN) atau PRU16.
“Apa jadi dengan Perikatan Nasional? Apakah PAS kekal memimpin PN? Kalau PAS kekal pimpin PN, bagaimana kedudukan dan hubungannya dalam PN? Apa bentuk kerjasama atau ta’awun dengan kumpulan di luar PN?
“Saya pun tidak tahu jawapan kepada semua persoalan itu kerana keputusan dibuat secara bersama oleh seluruh kepimpinan parti,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, PAS mempunyai komposisi Ahli Parlimen terbesar di Dewan Rakyat, iaitu seramai 43 orang, menyebabkan parti perlu berfikiran jauh ke hadapan dalam membuat sebarang keputusan politik.
“PAS bukan lagi bermain dalam liga kampung. Setiap langkah yang diambil perlu melihat empat atau lima langkah ke hadapan termasuk menjangka tindakan lawan politik,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak leka dengan kejayaan dikecapi, khususnya di Kedah yang disifatkannya sebagai kubu terkuat PAS serta negeri yang mempunyai jumlah ahli paling ramai.
“Jangan sekali-kali berasa lemah dan kecil apabila berhadapan dengan lawan kita. Gerak kerja PAS adalah berterusan. Inilah beza antara kita dengan parti lain. Kita tidak ada rehat dalam perjuangan kerana ini amanah yang mesti dilaksanakan untuk memimpin rakyat dan membawa negeri dan negara ke landasan sebenar.
“Perjuangan ini merangkumi usaha membina masyarakat, mendidik ummah serta membawa penyesaian kepada pelbagai masalah rakyat. Nampak mudah tapi cabarannya lebih berat apabila kita menang pilihan raya dan menjadi kerajaan,” katanya.
Tambah Menteri Besar Terengganu itu lagi, kejayaan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuktikan PAS mampu mentadbir cemerlang walaupun berdepan pelbagai cabaran politik.
“Kedah menjadi bukti kita mampu tadbir dengan baik. Pencapaian Kedah dalam tempoh lima tahun jauh berbeza berbanding 50 tahun sebelumnya berdasarkan data dan penilaian agensi kerajaan.
“Prestasi Kedah dari segi pelaburan, kebajikan rakyat dan pengurusan sumber negeri perlu dipertahankan. Kejayaan ini memberi semangat kepada rakan-rakan di negeri lain yang masih lagi belum menjadi Kerajaan Negeri.
“Namun jangan sesekali berasa selesa dengan pencapaian kita. Anggaplah setiap kali hadapi pilihan raya, ia medan baru yang memerlukan setiap ahli tidak leka. Jika leka kita berisiko berdepan kegagalan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera PAS bekerja lebih awal tanpa menunggu pengumuman tarikh pilihan raya.
“Kita bukan mahu bertahan satu penggal. Kita mahu bertahan selama-lamanya. Kemenangan bukan sekadar memerlukan semangat, tetapi strategi yang jelas, disiplin tinggi, pengorbanan berterusan dan gerak kerja konsisten.
“Jadikan hari ini titik permulaan kepada gerak kerja yang lebih tersusun dan berterusan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera PAS agar bertahan dengan apa jua serangan dan cercaan yang cuba memanipulasi pemikiran dan perjuangan ahlinya.
“Apa jua boleh berlaku pada tahun ini, tahun hadapan sehingga tahun berikutnya. Kita bukan lagi berlari 100 meter tetapi 5000 meter dengan peranan masing-masing dan hadapi pilihan raya dalam keadaan bersedia dan yakin,” katanya.

0 Comments