PAS MILIKI EKOSISTEM PERJUANGAN TERSENDIRI, TIDAK ADA PADA PARTI LAIN - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - PAS mempunyai ekosistem perjuangan unik yang tidak dimiliki mana-mana parti politik lain kerana setiap gerak kerja parti itu disusun berteraskan dakwah, tarbiah, kebajikan dan siasah yang bertujuan meraih keredaan ALLAH SWT.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ekosistem yang dibina PAS sejak penubuhannya pada 1951 menjadi kekuatan utama parti itu sehingga gagal ditandingi pihak lain.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu, perjuangan PAS bukan sekadar untuk merebut kuasa politik, sebaliknya menyediakan jalan bagi ahli, pemimpin dan penyokongnya melakukan amal kebaikan yang diharap dapat membawa mereka ke syurga dengan rahmat ALLAH SWT.

“Semua kebaikan yang kita buat dalam PAS melalui jalur dakwah, siasah, kebajikan dan tarbiah, kita harap menjadi sebab untuk mendapat rahmat ALLAH SWT. Itulah ekosistem yang dibina dalam PAS.

“Tidak ada parti lain seperti PKR, UMNO, BERSATU dan jauh sekali DAP mempunyai ekosistem seperti ini. Kebanyakan parti lain ditubuhkan atas asas merebut kuasa, sedangkan PAS membina perjuangan yang lebih besar daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRU16 PAS Kedah yang disempurnakan oleh Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Kompleks PAS Kedah, pada Jumaat.

Menteri Besar Kedah itu berkata, pengorbanan yang dilakukan ahli PAS dalam pelbagai keadaan sama ada ketika senang atau susah menjadi bukti kekuatan perjuangan parti itu yang sukar ditandingi pihak lain.

“Kita mahu semua pengorbanan yang kita buat dalam perjuangan jihad melalui pilihan raya ini boleh membuatkan kita ahli syurga. Nanti ada yang kata, undi PAS masuk syurga pula. Maksud saya, kebaikan yang akan bawa kita ke syurga,” jelasnya. 

Katanya, ramai pihak melihat PAS hanya sebagai sebuah parti politik, sedangkan perjuangan parti itu mempunyai dimensi lebih luas dan berbeza berbanding parti-parti lain.

“Orang yang tidak suka kepada kita tidak mampu menyaingi kita kerana mereka mengukur PAS sebagai parti politik semata-mata.

“Kayu pengukur yang digunakan untuk menilai PAS tidak sama dengan kayu pengukur yang digunakan untuk menilai parti-parti lain. Ini kelebihan PAS yang mesti dipelihara dan dipertahankan,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi jelaskan PAS memilih pendekatan jihad melalui pilihan raya selaras dengan kehendak undang-undang dan sistem demokrasi negara.

Menurutnya, para ulama telah berijtihad bahawa pilihan raya merupakan saluran terbaik untuk PAS memperoleh kuasa pemerintahan bagi melaksanakan amar makruf nahi mungkar serta mentadbir negara berlandaskan prinsip Islam.

“Itulah tujuan PAS masuk pilihan raya. PAS tidak menjadikan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar atau EXCO sebagai matlamat akhir perjuangan. 

“Kita masuk pilihan raya untuk mendapatkan kuasa mentadbir negara dan melaksanakan tanggungjawab yang diperintahkan oleh agama,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong supaya mendapatkan maklumat berkaitan PAS daripada sumber rasmi parti serta pemimpinnya, bukannya daripada pihak lawan atau pihak yang menyebarkan fitnah.

“Berita sahih mengenai PAS hendaklah datang daripada pemimpin PAS sendiri, bukan daripada musuh politik, cybertrooper atau pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu.

“Mereka tak boleh menyaingi kita, jadi mereka fitnah macam-macam. Banyak cerita direka dan dilemparkan terhadap PAS serta pemimpinnya kerana mereka tidak mampu menyaingi kekuatan yang ada pada parti ini,” katanya.

Post a Comment

0 Comments