PAS KEDAH SASAR RAMPAS TIGA DUN PEMBANGKANG, JADIKAN 36-0

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - PAS Kedah menetapkan sasaran menyapu bersih kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk merampas tiga DUN milik pembangkang, iaitu Sidam, Bakar Arang dan Kota Darul Aman.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sasaran 36-0 itu tidak mustahil dicapai berdasarkan perkembangan dan perubahan landskap politik semasa.

“33 kerusi yang kita sandang bersama BERSATU, kita akan pastikan kita lawan semua kerusi. Kita akan menang semua kerusi.

“Kita akan rampas dua kerusi PKR di Sidam dan Bakar Arang serta DAP di Kota Darul Aman. Sasaran 36-0, kita boleh buat, tidak mustahil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRU16 PAS Kedah yang disempurnakan oleh Naib Presiden PAS merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Kompleks PAS Kedah, pada Jumaat.

Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, kejayaan menumbangkan pengaruh parti tertentu di beberapa negeri sebelum ini membuktikan perubahan sokongan pengundi boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Telah dibuktikan dalam manuver politik, pergerakan politik pengundi menyebabkan DAP boleh kosong di Sabah. Tidak mustahil di Kedah, DAP akan lenyap sama sekali,” katanya.

Beliau turut mendakwa PKR kini berada dalam keadaan lemah akibat perpecahan dalaman dan perebutan kuasa kalangan pemimpinnya.

Sanusi turut menyasarkan kemenangan di kesemua 15 kerusi Parlimen di Kedah pada pilihan raya akan datang, dengan tumpuan diberikan untuk menawan Parlimen Sungai Petani selain memastikan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) tewas.

“Kita alu-alukan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertanding di Kulim atau Bandar Baharu atau Padang Serai dan kita akan pastikan dia kalah dalam pilihan raya.

“Sama juga dengan seorang menteri di Parlimen Sungai Petani (Taufik Johari), kita akan kalahkan dia dalam pilihan raya. Sungai Petani akan jadi milik PAS, kita akan bertanding parlimen itu,” katanya.

Menyentuh hubungan PAS dan BERSATU, beliau berkata, walaupun kerjasama politik kedua-dua parti telah berakhir, beliau percaya kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di Kedah masih menyokong Kerajaan Negeri pimpinan PAS.

“Kedah ada 33 kerusi DUN bersekali dengan BERSATU. Walaupun telah putus hubungan, saya yakin kesemua ADUN BERSATU masih sayang kepada kita. Pergerakan pola dalam PAS dan BERSATU adalah manuver politik yang berlaku dari semasa ke semasa. Yang penting kita setia dan taat kepada parti selagi tidak bercanggah dengan syariat,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah itu tegaskan PAS bersedia menghadapi pilihan raya sekiranya diadakan pada bila-bila masa.

“Kedah bersedia bila-bila sahaja jika pilihan raya diumumkan. Suruh pilihan raya esok pun kami mahu, minggu depan kami mahu, tahun depan pun boleh,” katanya.

Sanusi bagaimanapun mengulangi pendiriannya agar Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan PRU16 bagi menjimatkan kos dan memudahkan urusan rakyat.

Menurut beliau, tempoh matang DUN Kedah hanya akan berakhir pada Ogos 2028, manakala Parlimen dijangka tamat penggal pada November 2027.

“Perdana Menteri mungkin mahu pilihan raya lewat sebab dia tengah lemah dan berselerak, Sang Kancil (BERSAMA) pula melompat-lompat. PKR berpecah-pecah dan pemimpin pula sedang berkelahi, berebut kuasa. 

“UMNO hampir lari, mereka boleh hilang 90 kerusi Kalau UMNO lari. Gang Rafizi Ramli berapa belas kerusi tak pasti. Apabila PM makin lemah, saya tak yakin dia akan bubarkan Parlimen dengan cepat dan mungkin heret hingga hujung 2027,” katanya.

Sanusi jelaskan, gerak kerja pilihan raya PAS di seluruh negeri telah digerakkan lebih awal dan pelancaran jentera di semua peringkat telah dilaksanakan sebagai persiapan menghadapi PRU16.

Katanya, PAS akan melancarkan jentera parti peringkat Pusat pada Muktamar PAS di Kelantan pada September depan bagi menunjukkan kekuatan dan kesiapsiagaan parti menjelang pilihan raya.

“Kita akan berhimpun di sana, tunjukkan PAS satu-satunya parti yang bekerja dengan ikhlas, tidak berebut kuasa dan kedudukan, sebaliknya sanggup berkorban masa, tenaga serta harta demi kestabilan politik negara.

“Dalam PAS, bukan berebut jawatan tetapi berebut untuk tak mahu jawatan, namun jika diberikan amanah, kita akan bertungkus-lumus melaksanakannya,” katanya.

Post a Comment

0 Comments