KEDAH SASAR MENANG 36-0, TIDAK MUSTAHIL DICAPAI - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - PAS Kedah meletakkan sasaran untuk menyapu bersih kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang, sekali gus memperkukuhkan lagi penguasaan parti itu di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sasaran tersebut tidak mustahil dicapai berdasarkan kejayaan PAS memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu, keyakinan tinggi perlu diterapkan dalam kalangan jentera parti bagi memastikan momentum kemenangan lalu dapat diteruskan pada pilihan raya akan datang.

“PAS akan memimpin kemenangan ke arah mencapai sasaran 36-0 di Kedah. Siapa nak ikut PAS, dipersilakan. Siapa nak berkawan, mai. Siapa nak lawan, tunggu.

“Kita mahu bolot semua kerusi, 36 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen. Kita kena yakin hingga ke tahap itu, barulah jentera kita lebih yakin untuk bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRU16 PAS Kedah yang disempurnakan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Kompleks PAS Kedah, pada Jumaat.

Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, sasaran itu bukan sesuatu yang mustahil kerana beliau sendiri pernah meletakkan sasaran kemenangan 33 kerusi DUN pada PRU15 dan ia berjaya dicapai.

“Sebelum ini saya pernah letak sasaran menang 33 kerusi, kita berjaya capai dan mentadbir negeri ini.

“Kali ini saya mahu berkempen untuk 36 kerusi. Insya-ALLAH boleh dicapai dengan izin-NYA, kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” katanya.

Mengulas kemungkinan PAS mengambil kesempatan daripada perkembangan manuver politik semasa (gerakan atau percaturan politik yang mempunyai tujuan strategik), Sanusi berkata, semua parti politik perlu melakukan penyesuaian strategi mengikut keperluan serta perubahan landskap politik semasa.

“Semua parti manuver. Ia berdasarkan keperluan dan kehendak semasa serta pola pemikiran pada ketika ini. Parti politik tidak boleh statik. Kalau tidak, ia akan jadi parti zaman batu. 

“Saya percaya semua parti politik akan mengambil peluang dan membuat penyesuaian yang diperlukan,” katanya.

Menurutnya lagi, prinsip mahupun perjuangan hendaklah kekal, namun strategi serta pendekatan untuk menarik sokongan pengundi boleh disesuaikan.

“Strategi dan pendekatan untuk ambil hati pengundi boleh diubah dengan semua aspek diambil kira. Setiap parti politik perlu lakukan penyesuaian strategi dan manuver politik mengikut perkembangan semasa, namun prinsip perjuangan dan dasar parti mesti kekal dipertahankan,” ujar beliau.

Post a Comment

0 Comments