JADIKAN SEMANGAT HIJRAH PEMANGKIN KE ARAH KEDAH LEBIH MAJU - SULTAN KEDAH

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Negeri Kedah perlu melakukan penghijrahan dalam pelbagai aspek termasuk cara berfikir, pentadbiran, ekonomi, pendidikan serta pembinaan akhlak dan integriti bagi memastikan negeri ini terus maju dan makmur.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, semangat hijrah yang menuntut perubahan ke arah lebih baik amat diperlukan oleh negeri ini pada masa kini.

Titah baginda, Kedah yang kaya dengan hasil bumi, memiliki tanah pertanian yang subur serta sejarah dan warisan yang gemilang perlu terus melangkah ke hadapan berteraskan ilmu, teknologi, tadbir urus yang baik dan perpaduan rakyat yang kukuh.

“Hijrah yang paling besar ialah perjalanan hati menuju reda ALLAH SWT. Semangat hijrah inilah yang amat diperlukan oleh Kedah pada hari ini.

“Kita perlu berhijrah dalam cara berfikir, dalam pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan paling utama dalam pembinaan akhlak serta integriti,” titah baginda.

Titah ucapan Sultan Kedah dibacakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang mewakili baginda pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah Darul Aman tahun 1448 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, hari ini.

Sultan Kedah bertitah, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar menandakan pertukaran angka dalam kalendar Islam, sebaliknya membawa makna besar kepada perjalanan hidup umat Islam.

Titah Sultan Sallehuddin, peristiwa hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat dari Makkah ke Madinah merupakan satu strategi yang dirancang dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan tawakal demi mempertahankan akidah umat Islam daripada penindasan dan kezaliman.

“Daripada peristiwa inilah lahirnya sebuah tamadun Islam yang berteraskan keadilan, ilmu, persaudaraan dan integriti.

“Hijrah menjadi titik mula kepada pembentukan sistem pemerintahan Islam yang tersusun sehingga Saidina Umar Al-Khattab menjadikannya sebagai permulaan kepada kalendar Islam.

“Hijrah adalah lambang keimanan, ketakwaan dan perjuangan menuju kejayaan yang sebenar,” titah baginda.

Sultan Kedah turut menegaskan bahawa hijrah yang sebenar bukan sekadar perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat lain, tetapi merupakan transformasi jiwa, perubahan pemikiran dan pembinaan akhlak.

“Ia menuntut kita meninggalkan kelemahan kepada kekuatan, meninggalkan kelalaian kepada keinsafan dan meninggalkan perpecahan kepada perpaduan.

“Sesungguhnya hijrah yang sebenar bukanlah berpindah dari satu tempat ke satu tempat, tetapi berpindah daripada apa yang dimurkai ALLAH SWT kepada apa yang diredai-Nya,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menyeru seluruh rakyat Kedah menjadikan tahun 1448 Hijrah sebagai titik permulaan kepada perubahan yang lebih bermakna berasaskan ketakwaan, kematangan pemikiran dan tindakan yang berintegriti.

“Peristiwa Hijrah bukan sekadar mengimbau sejarah, tetapi mengajak kita menelusuri pengajaran bersifat zahir dan batin, yang kekal relevan sepanjang zaman,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah serta penerima Anugerah Masjid Terbaik kategori Bandar dan Luar Bandar.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada usaha dakwah dan pembangunan ummah yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” titah baginda.

Pada majlis tersebut, Tengku Sarafudin Badlishah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada pakar motivasi, Dr Shukri Abdullah yang merupakan anak jati Kampung Sungai Baru Alor Setar.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 serta hadiah iringan dan sijil penganugerahan.

Sementara Anugerah Masjid Terbaik kategori Bandar diberikan kepada Masjid Al-Hana di Kuah, Langkawi, menerima hadiah wang tunai RM20,000 serta hadiah iringan dan sijil penganugerahan.

Masjid Al-Fateh, Kuala Pegang, Baling merangkul Anugerah Masjid Terbaik kategori Luar Bandar turut menerima hadiah wang tunai RM20,000 serta hadiah iringan dan sijil penganugerahan.

Post a Comment

0 Comments