KEPUTUSAN BIJAK KEKALKAN EXCO BERSATU UNTUK KESTABILAN PENTADBIRAN NEGERI - PENGANALISIS

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Keputusan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengekalkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) disifatkan sebagai langkah matang bagi menjamin kestabilan pentadbiran negeri.

Penganalisis politik, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, tindakan tersebut bukan sekadar keputusan pentadbiran biasa, sebaliknya strategi politik yang wajar dipuji bagi mengelakkan Kedah terjerumus dalam krisis seperti yang berlaku di beberapa negeri lain.

Menurutnya, biarpun PAS menamatkan kerjasama politik dengan parti itu di peringkat Pusat, ia jelas tidak menjejaskan kerajaan di peringkat negeri.

“Pengalaman di Johor, Melaka dan Sabah membuktikan perubahan dalam komposisi kerajaan atau pengguguran EXCO sering membawa kepada ketidakstabilan politik dan pilihan raya negeri (PRN) yang memerlukan kos tinggi,” katanya, hari ini.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, pada 2022 menyaksikan gugurnya EXCO Pakatan Harapan (PH) yang membawa kepada PRN Johor yang menelan kos besar dan memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negeri.

“Begitu juga di Melaka pada 2021 apabila pengguguran EXCO mencetuskan PRN yang akhirnya hanya mengulangi perebutan kuasa tanpa manfaat besar kepada rakyat.

“Di Sabah pula, parti WARISAN kehilangan sokongan menyebabkan EXCO diganti pada 2020 yang membawa kepada pertukaran kerajaan dan seterusnya PRN diadakan dengan menuntut kos serta ekonomi yang tinggi,” katanya.

Tambah beliau, Kedah memilih pendekatan berbeza apabila mengekalkan EXCO BERSATU demi memastikan kesinambungan pentadbiran dan mengelakkan risiko berlakunya PRN secara mengejut yang boleh menjejaskan pembangunan negeri.  

Menurut Ahmad Zaharuddin Sani, langkah itu juga dilihat menghormati mandat rakyat yang memilih gabungan PAS dan BERSATU pada PRN lalu.

“Walaupun hubungan politik antara kedua-dua parti sudah berakhir, keputusan mengekalkan EXCO BERSATU menunjukkan Kerajaan Negeri masih menghormati mandat asal yang diberikan pengundi.

“Ia membuktikan PAS tidak menafikan suara rakyat yang memilih gabungan tersebut, sebaliknya mengekalkan representasi BERSATU dalam Kerajaan Negeri,” katanya.

Tambah beliau lagi, kestabilan pentadbiran perlu diberikan keutamaan berbanding retorik politik kerana sebarang perubahan drastik boleh menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan, keyakinan pelabur serta kelancaran urusan birokrasi negeri.

“Dengan mengekalkan mereka, Kedah menghantar mesej jelas bahawa pentadbiran negeri tidak akan terganggu oleh pergolakan politik Pusat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, langkah itu turut memberi kelebihan kepada PAS kerana parti berkenaan dilihat lebih inklusif dan tidak bertindak secara terburu-buru terhadap rakan politiknya.

“PAS tidak dilihat sebagai parti yang ‘membuang kawan’ selepas perpecahan. Pendekatan ini membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama semula pada masa depan sekiranya landskap politik berubah menjelang PRU16.

“Tindakan itu juga dapat mengelakkan persepsi negatif kalangan pengundi atas pagar yang lazimnya mengutamakan kestabilan berbanding konflik politik,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, sekiranya pendekatan tersebut berjaya mengekalkan kestabilan politik Kedah, ia berpotensi menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam menguruskan perubahan hubungan politik tanpa menjejaskan pentadbiran kerajaan.

“Keputusan Menteri Besar Kedah ini membuktikan pentadbiran negeri kekal stabil walaupun hubungan politik berubah. Politik negeri tidak semestinya tunduk kepada retorik perpecahan.

“Ia memperlihatkan politik yang lebih rasional dengan mengutamakan kestabilan, mandat rakyat dan kesinambungan pentadbiran demi kepentingan negeri,” katanya.

Tegas beliau, Kedah memilih untuk mengekalkan EXCO BERSATU bukan kerana kelemahan, tetapi kerana keberanian menafsirkan politik sebagai ruang pentadbiran, bukan sekadar gelanggang kuasa.

Post a Comment

0 Comments