AT&S TAMBAH PELABURAN RM10 BILION DI KULIM, MANFAATKAN LEDAKAN AI

 


Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Pengeluar papan litar terkemuka dari Austria, AT&S mengumumkan pelaburan sehingga €2 bilion (RM10 bilion) di Malaysia bagi memperluaskan operasi pengeluarannya di Kulim, sekali gus memanfaatkan pertumbuhan pesat industri kecerdasan buatan (AI) global.

Ketua Pegawai Eksekutif AT&S, Michael Mertin berkata, syarikat itu akan melaksanakan peluasan sepenuhnya kemudahan sedia ada di Kulim bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur AI.

"Kami akan memperluaskan sepenuhnya tapak kami di Kulim," katanya kepada Reuters dalam satu temu bual.

Pengumuman tersebut menyaksikan harga saham AT&S melonjak hampir 30 peratus apabila didagangkan pada €199 sesaham, selepas mencecah paras tertinggi rekod €200 pada awal dagangan.

AT&S turut mengumumkan rancangan untuk menambah kapasiti pengeluaran di Kulim selain meningkatkan unjuran prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2026/27.

Menurut syarikat itu, keputusan berkenaan disokong oleh perjanjian bersama pelanggan utamanya, iaitu pengeluar cip Amerika Syarikat, AMD serta sebuah lagi syarikat teknologi yang tidak didedahkan susulan permintaan kukuh terhadap infrastruktur teknologi AI.

Bagaimanapun, sumber industri memaklumkan pelanggan utama kedua itu dipercayai Intel.

Mertin berkata, pelaburan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran di kilang sedia ada dan mengaktifkan bangunan yang sebelum ini belum digunakan di kilang keduanya di Kulim, dibiayai sepenuhnya menerusi komitmen jangka panjang pelanggan.

Tambah beliau, pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya lima syarikat teknologi tinggi terkemuka dari Amerika Syarikat akan menjadi rakan teknologi dalam projek peluasan tersebut.

“Kami jangkakan sekurang-kurangnya lima pelanggan teknologi tinggi yang kami kenali sebagai rakan teknologi dari Amerika Syarikat akan diwakili,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan syarikat itu berkemungkinan tidak akan membayar dividen bagi tahun semasa dan tahun hadapan berikutan komitmen pelaburan yang besar bagi menyokong pertumbuhan operasi.

Post a Comment

0 Comments