Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan ajaran dan fahaman yang dibawa oleh Muhamad Yudha Al Fikri adalah sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam menurut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mufti Kedah, Dato' Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil Haji Awang berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bersidang pada 10 Mei lalu.
Menurut beliau, Jabatan Mufti Kedah turut memanggil Muhamad Yudha Al Fikri untuk mendapatkan maklumat berhubung isu berkenaan sebelum keputusan tersebut dibuat.
“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah bersetuju memutuskan bahawa ajaran dan fahaman yang dibawa oleh Muhamad Yudha Al Fikri atau apa jua nama dan gelaran yang dikaitkan dengannya adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Keputusan itu dibuat selepas meneliti serta mendapatkan penjelasan secara langsung daripada individu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Syeikh Fadzil memaklumkan, antara fahaman yang didapati bertentangan dengan akidah ialah dakwaan bahawa beliau dibuka hijab oleh ALLAH SWT sehingga mampu melihat perkara ghaib seperti azab kubur, individu yang bakal menerima balasan syurga atau neraka, melihat Luh Mahfuz serta segala kandungannya termasuk roh yang berterbangan, selain melihat dosa dan pahala seseorang pada masa lalu.
Selain itu, Muhamad Yudha Al Fikri juga mendakwa mampu melihat jin dan syaitan menggunakan mata batin selain didakwa boleh memanggil malaikat dan jin mengikut bilangan yang dikehendakinya hanya dengan berdoa kepada ALLAH SWT, termasuk malaikat Jibril, Malik, Munkar dan Nakir.
Malah, beliau juga mengakui mampu mengarahkan malaikat supaya menghentikan seksaan kubur terhadap seseorang dengan mudah.
“Justeru, ajaran atau fahaman yang dibawa oleh beliau hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan,” katanya.
Syeikh Fadzil tegaskan, Muhamad Yudha Al Fikri serta mana-mana orang Islam yang terlibat dengan ajaran atau fahaman tersebut hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan daripada ALLAH SWT.
Pada masa sama, Jabatan Mufti Kedah menjelaskan segala dakwaan serta perkara tular dalam masyarakat berkaitan ajaran berkenaan yang tersebar sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan jabatan itu.
Difahamkan, ajaran dan fahaman berkenaan dibawa oleh Muhamad Yudha Al Fikri yang berasal dari Jakarta, Indonesia dan menetap di Sungai Petani.

0 Comments