Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah tidak semestinya dilakukan ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya boleh dibuat lebih awal menerusi akuan bersumpah (SD).
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihak yang mahu berbuat demikian tidak perlu menunggu sidang DUN berlangsung untuk membuktikan sokongan atau penolakan terhadap seseorang pemimpin.
“Bukan tunggu hari sidang DUN saja. Undi percaya atau undi tidak percaya ini di luar sidang pun boleh dibuat.
“Hantarlah SD sebelum sidang itu, tak perlu tunggu sampai sidang DUN,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lembu sempena Aidiladha 1447H di Seri Mentaloon, hari ini.
Menurut beliau, Abu Bakar juga mempunyai pilihan untuk membubarkan DUN Perlis sekiranya berdepan kebuntuan politik atau tidak lagi mendapat sokongan majoriti.
“Kalau tak ada jalan keluar dan berlaku ‘deadlock’, mungkin itu pilihan dia,” katanya.
Sambil berseloroh, Sanusi menyatakan beliau pula terpaksa ‘pergi berkempen’ jika pilihan itu yang diambil Abu Bakar seterusnya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Saya lah teruk sikit negeri jiran, kena pi kempen pula,” katanya sinis.
Mengulas kemelut melibatkan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Perlis, Sanusi berkata, semua pihak perlu melihat kepada punca sebenar sesuatu tindak balas dan bukan sekadar menilai reaksi yang berlaku.
“Jangan tengok apa orang balas, tengok apa yang kita buat sampai orang balas macam itu. Baru kita boleh perbaiki diri.
“Jangan kira orang bagi reaksi tapi aksi kita tu apa? Itu reaksi PAS. Reaksi adalah tindak balas kepada aksi awal itu.
“Tengok tindakan awal itu betul atau tidak. Kalau tak betul, masa akan datang jangan buat lagi,” katanya.
Tambah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu lagi, sepatutnya semua pihak mengambil pengajaran daripada tindakan yang dilakukan sejak awal yang menjadi punca kepada permasalahan, bukan ambil pengajaran daripada reaksi.
“Apa-apa benda pun di dunia, jangan tengok tindak balas,” katanya.
Pada 23 Mei, Abu Bakar dilaporkan berkata, beliau bersedia membubarkan DUN Perlis sekiranya enam wakil rakyat PAS mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya dalam sidang DUN yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 5 Jun depan.
Katanya, beliau tidak mempunyai pilihan dan menunggu sebarang tindakan dari wakil rakyat PAS jika berhasrat berbuat demikian.
Sehari sebelum itu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan BERSATU tidak menghormati semangat setiakawan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), termasuk dalam kemelut politik di Perlis apabila menyokong usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar daripada PAS.
Ahli Parlimen Marang itu turut memaklumkan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan bersama pimpinan PAS Perlis berhubung tindakan susulan.
Sidang DUN Perlis yang dijadual berlangsung awal Jun ini dijangka menjadi tumpuan susulan kemungkinan enam wakil rakyat PAS membawa usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar.
Sebelum ini, enam ADUN Pas diketuai Mohd. Shukri Ramli menuntut penjelasan Menteri Besar Perlis itu berhubung penangguhan sidang DUN yang sepatutnya berlangsung pada 21 hingga 23 April lalu.
Desakan itu dibuat bersama lima ADUN lain, iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang); Razali Saad (Simpang Empat); Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).

0 Comments