Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah, Dzowahir Ab Ghani dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Abdul Razak Khamis kekal seperti biasa meskipun kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri ketika ini berjalan lancar dan isu pemecatan melibatkan wakil rakyat terbabit tidak menjejaskan kestabilan negeri.
Menurut beliau, perkara itu turut dimaklumkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan di Terengganu semalam, apabila beliau melaporkan keadaan politik di Kedah berada dalam keadaan baik.
“Dalam laporan daripada negeri-negeri semalam, saya maklumkan di Kedah tidak ada isu apa-apa. Memang ada seorang EXCO dan Timbalan Speaker daripada BERSATU dipecat, tetapi keadaan negeri stabil.
“Hubungan di peringkat parti dengan parti di sini juga berjalan baik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lembu sempena Aidiladha 1447H di Seri Mentaloon, hari ini.
Sanusi berkata, kedua-dua ADUN terbabit masih meneruskan tugas seperti biasa dan tiada keperluan untuk membuat sebarang penukaran buat masa ini.
“Kedudukan dua ADUN tersebut kekal sampai sekarang. Tidak ada keperluan lagi untuk tukar, teruskan kerja macam biasa. Yang dipecat semua okey, kerja pun baik,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan kononnya berdepan tekanan susulan tindakan disiplin dikenakan terhadap wakil rakyat daripada BERSATU itu.
“Tak ada tekanan apa-apa. Saya baik dengan semua orang, tak ada masalah apa-apa. Sebagai Menteri Besar, saya mahu pastikan keadaan negeri stabil, aman dan kerja berjalan lancar. Alhamdulillah, pentadbiran negeri berjalan dengan baik, rezeki pun melimpah ruah,” katanya.
Bagaimanapun, Sanusi jelaskan, kenyataan politik yang dibuatnya ketika berceramah perlu dilihat dalam konteks berbeza selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.
“Sebagai Pengarah Pilihan Raya, saya ada watak lain. Kena pergi ceramah kerana watak itu ada di sana. Bila pakai topi itu, saya akan cakap tentang hal politik,” katanya.
Sebelum ini, BERSATU dilaporkan memecat dua ADUN Kedah iaitu ADUN Suka Menanti, Dzowahir dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak, manakala tujuh lagi digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa 8 Mei lalu.
ADUN Derga, Mohamad Amri Wahab turut dikenakan tindakan disiplin apabila digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan.
Pada 13 Mei lalu, Sanusi memaklumkan kedua-dua wakil rakyat terbabit akan terus menjalankan tugas sehingga Lembaga Rayuan BERSATU membuat keputusan berhubung rayuan yang dikemukakan mereka.

0 Comments