Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Sebarang keputusan melibatkan PAS dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) tidak dibuat secara terus dalam mesyuarat gabungan itu, sebaliknya perlu dibawa kembali untuk diputuskan di peringkat parti.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses tersebut telah diamalkan sejak PAS berada dalam beberapa gabungan politik terdahulu termasuk Pakatan Rakyat (PR).
Menurut beliau, wakil PAS yang hadir dalam mesyuarat PN hanya berbincang dan berunding sebelum perkara yang tidak diputuskan dibawa kepada jawatankuasa parti serta Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan.
“Kita pergi bincang, runding. Mana yang tak selesai, bawa balik kepada parti untuk dibincang di peringkat parti, diambil keputusan dan dibawa semula ke mesyuarat akan datang.
“Itu proses yang berlaku dalam mana-mana gabungan yang PAS sertai. Sejak zaman Tok Guru lagi, maklumat dibawa balik kepada parti untuk dirundingkan sebelum pendirian dibawa semula ke meja gabungan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lembu sempena Aidiladha 1447H di Seri Mentaloon, di sini hari ini.
Menurut Sanusi, PAS terikat dengan keputusan Majlis Syura Ulama yang menentukan polisi parti, selain keputusan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang turut mengikat pimpinan dengan dasar-dasar parti.
“Kita diikat dengan keputusan Majlis Syura yang menentukan polisi dan hukum-hakam, kemudian turun kepada Jawatankuasa PAS Pusat. Kita tak pergi dalam PN dan londeh dasar parti.
“Sebab itu prinsip kita jelas dan kukuh. PAS tetap PAS. Kita tak buang baju PAS dan pakai baju PN dan buat ikut suka hati,” katanya.
Mengulas tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menarik balik akuan bersumpah (SD), Sanusi berkata, perkara itu bukan keputusan yang dipersetujui PAS dalam mesyuarat PN.
Katanya, perkara itu hanya dimaklumkan dalam mesyuarat PN sebagai penjelasan daripada BERSATU dan bukannya keputusan bersama dalam gabungan tersebut.
“Kita dimaklumkan dua ADUN BERSATU tarik SD kerana Biro Politik BERSATU buat keputusan itu kerana UMNO tarik balik SD, UMNO tak tahu lagi nak tarik bila jadi BERSATU tarik dulu.
“Itu penjelasan, bukan keputusan tapi nak tanya apa lagi kerana mereka sudah buat keputusan. Jadi PAS tidak buat persetujuan terhadap langkah itu. Kita tidak ‘endorse’ tindakan itu,” katanya.
Menurut beliau, tindakan menarik balik SD tanpa rundingan lebih awal telah menimbulkan implikasi besar dalam gabungan berkenaan.
“Lima orang bagi SD, tiba-tiba BERSATU tarik dua orang tanpa perundingan. Masa nak buat, buat sekali, masa nak tarik, tarik seorang-seorang buat keputusan.
“Kononnya sebab UMNO nak tarik balik SD, tetapi sampai hari ini UMNO pun tak tarik. Jadi perkara itu membawa kepada kesan yang lebih besar,” katanya.
Sanusi tegaskan, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung situasi politik melibatkan hubungan parti itu dan BERSATU merupakan pendirian rasmi parti selepas dibincangkan dalam organisasi parti itu.
Beliau turut mengakui wujud pergolakan terbuka dalam PN kebelakangan ini, namun menegaskan PAS memilih untuk bersabar dan tidak terlalu terbuka mengulas perkara dalaman gabungan itu.
“PAS jarang cakap terbuka pasal perkara ini. Presiden PAS sudah beri pandangan dan itulah pendirian parti. Kita tak kecewa, tetapi kita sabar.
“Berbeza dengan pimpinan BERSATU yang sering ulas secara terbuka. Inilah kita mulakan dengan kenyataan Presiden PAS sendiri, yang juga mewakili parti,” katanya.
Hubungan PAS dan BERSATU dilihat sedikit tegang apabila Abdul Hadi dilaporkan berkata, PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.
Ketetapan itu dibuat susulan daripada beberapa tindakan BERSATU yang disifatkan kurang menyenangkan PAS.

0 Comments