Oleh: Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid
Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah
Pemuda PAS Kedah ingin menegaskan bahawa sewajarnya Kerajaan Persekutuan mengambil prinsip yang jelas terhadap sistem pendidikan asing seperti UEC selain mempertahankan kerukunan sistem pendidikan kebangsaan yang ada dalam negara ini.
Malah, kenyataan Setiausaha Agung DAP bahawa bantahan terhadap "laluan khas" UEC itu sebagai halangan terhadap akses pendidikan menunjukkan tegarnya ideologi pemimpin utama DAP untuk mempertahankan sistem pendidikan asing seperti UEC.
Mengapa DAP begitu tegar mempertahankan UEC sedangkan isu ini telah dibahas panjang penolakannya dalam negara?
Penolakan terhadap UEC adalah disebabkan kerangka sistem pendidikannya yang bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan mahupun dasar pendidikan kebangsaan sendiri. Ia bukan disebabkan faktor rasis mahupun diskriminasi terhadap kaum tertentu.
Dasar pendidikan kebangsaan sememangnya menekankan aspek inklusiviti terhadap akses pendidikan. Ironinya ada pihak yang memilih untuk meminggirkan diri mereka sendiri dengan menggunapakai sistem pendidikan yang asing.
Namun kemudiannya, pihak yang mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan itu pula yang dipersalahkan kerana kononnya telah mendiskriminasi pihak tersebut, walaupun sejak dari awal merekalah yang mendiskriminasi diri sendiri.
Pandangan Anthony Lake tersebut nyata tersasar daripada asas yang dibangkitkan. Apakah sistem pendidikan kebangsaan hari ini tidak ada nilainya di mata pemimpin DAP?
Pemuda PAS Kedah sekali lagi ingin menyatakan bantahan terhadap laluan khas UEC tersebut meskipun dengan syarat pengambilan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah selain hanya untuk program tertentu.
Hal yang demikian kerana akar permasalahan bukan kerana hanya kepada "entry point" kemasukan ke universiti awam, tetapi sistem pendidikan UEC keseluruhannya tidak berpaksikan kepada perpaduan serta menghalang pembinaan negara bangsa pada masa hadapan.

0 Comments