Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Sebanyak 170 ekor lembu korban diagihkan ke seluruh Kedah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha melibatkan semua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 Parlimen di negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesemua lembu berkenaan merupakan sumbangan dermawan yang prihatin bagi membantu golongan fakir miskin serta masyarakat memerlukan.
Menurut beliau, setiap wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Senator dan Penyelaras DUN menerima dua ekor lembu untuk dibawa pulang ke kawasan masing-masing bagi tujuan ibadah korban.
“Lembu-lembu ini adalah sumbangan dermawan yang peduli dan prihatin untuk kita agihkan kepada semua wakil rakyat di seluruh negeri ini.
“Semua 170 ekor lembu ini akan diagihkan dan seterusnya dinikmati oleh fakir miskin serta golongan memerlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lembu sempena Aidiladha 1447H di Seri Mentaloon, hari ini.
Menurut beliau, agihan itu turut melibatkan pasukan keselamatan termasuk polis dan tentera sebagai menghargai jasa mereka menjaga keamanan negeri.
Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada penyumbang yang merupakan dermawan anak Kedah yang bermurah hati membantu rakyat negeri ini.
Katanya, sumbangan tersebut membuktikan slogan ‘Kedah Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’ semakin sebati dalam hati golongan kaya yang pemurah.
“Dulu kerajaan minta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyumbang dan kemudian guna duit kerajaan. Selepas saya jadi Menteri Besar, kita ubah pendekatan dengan menggalakkan orang kaya dan dermawan menyumbang untuk diagihkan kepada orang miskin,” katanya.
Beliau berharap lebih ramai pihak tampil menyumbang pada masa akan datang dan bantuan tidak hanya tertumpu pada musim Aidiladha sahaja.
“Saya harap tahun depan akan ada lagi penyumbang yang menghadiahkan haiwan ternakan untuk dibuat korban,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi turut mengucapkan tahniah kepada umat Islam yang bakal menunaikan ibadah haji selain mendoakan mereka selamat berwukuf.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menghayati semangat ibadah korban yang disyariatkan Islam dan bukan dianggap sebagai adat atau amalan suka-suka.
“Korban ini ibadah yang bermula daripada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Jadi lakukan dengan tertib supaya menjadi ibadah yang sempurna,” katanya.

0 Comments