Oleh: Roslinda Hashim
PADANG TERAP - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengajak akar umbi UMNO khususnya golongan muda supaya bersama PAS dan Perikatan Nasional (PN) membina landskap politik baharu bagi memperkukuhkan kuasa Islam dan Melayu di negara ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu dijadikan medan untuk memastikan tampuk pemerintahan negara terus diterajui orang Islam Melayu demi menjamin kestabilan serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
“Rakan-rakan dalam UMNO, marilah bersama kami. Kita nak kuatkan orang Melayu, pegang kuasa bersungguh-sungguh. Negara ini siasah politiknya mesti dipegang dan dikawal oleh orang Islam Melayu.
“Bila Melayu dan Islam kuat, bangsa lain juga akan hidup selamat, bebas dan harmoni di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Padang Terap, pada Rabu.
Menurut beliau, PAS tidak pernah melupakan detik kerjasama bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) yang disifatkan berjaya menyatukan orang Melayu dan Islam sehingga mewujudkan semangat baharu kalangan rakyat di peringkat akar umbi.
“Kita dengan UMNO pernah berkawan bawah Muafakat Nasional, kita tak pernah lupa saat manis di peringkat akar umbi.
“Kita masih ingat bagaimana orang kampung, ahli UMNO dan PAS ketika itu duduk bersama. Saya yakin ahli UMNO masih terasa seronoknya berkawan dengan PAS, masa itu kutip derma guna tin milo semasa ceramah.
“Mereka belajar berjuang dalam politik dengan pengorbanan, bukan untuk cari habuan atau nikmat,” katanya.
Bagaimanapun, Sanusi tegaskan, PAS dan UMNO bukan lagi rakan politik pada masa kini selepas UMNO mengambil keputusan bekerjasama dengan DAP dan PKR bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, tindakan itu berlaku selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik parti tersebut keluar daripada Muafakat Nasional.
“Kerana kepentingan peribadi untuk selamatkan diri daripada kes mahkamah, UMNO dibawa berpakat dengan DAP dan PKR. Mereka mula cari habuan, ramai pemimpin yang kalah dalam pilihan raya dilantik memegang jawatan lembaga pengarah di sana sini tanpa mengambil kira kelayakan atau pengalaman,” ujarnya.
Pengerusi PN Kedah itu berkata, UMNO pernah meminda perlembagaan parti itu dengan memasukkan perjuangan Islam, selepas menjalinkan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional.
Namun katanya, parti itu kini lebih memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan semula kuasa politik termasuk menyerang pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.
“Mereka nak ambil alih kuasa di sini. Kalau nak lawan kita, buatlah kerja elok-elok, tetapi hakikatnya kita buat lebih baik daripada ketika mereka memerintah dahulu,” katanya.

0 Comments