PERSOAL LANTIKAN PEMIMPIN UMNO DALAM UUM
Oleh: Roslinda Hashim
PADANG TERAP - Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) semakin dipengaruhi unsur politik susulan pelantikan seorang pemimpin UMNO sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pelantikan individu yang aktif dalam politik dan tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran universiti mengesahkan bahawa IPTA tidak lagi bebas daripada pengaruh politik kepartian.
“Ada seorang pemimpin UMNO Bahagian dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UUM. Itu mengesahkan bahawa politik telah menyerap masuk ke institusi pengajian tinggi.
“Bila ahli-ahli lembaga pengarah universiti dilantik daripada kalangan pemimpin UMNO dan Pakatan Harapan (PH) yang tiada pengalaman dalam pentadbiran universiti, hanya ada pengalaman politik, itu pun tidak menang dalam pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Padang Terap di sini.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, pelantikan ahli lembaga pengarah yang mempunyai kepentingan politik menyebabkan universiti itu kelak menjadi ‘kubu kuat’ parti tertentu.
“Oleh kerana ahli lembaga pengarah dilantik daripada kalangan UMNO dan PH, orang-orang yang menjaga kepentingan politik, maka universiti itu jadi kubu kuat mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengimbau insiden membabitkan UUM yang tidak membenarkan penggunaan sebuah dewan universiti berkenaan bagi penganjuran program konvokesyen Syarikat Air Darul Aman (SADA) atas alasan faktor keselamatan.
“UUM pernah tidak benarkan kita guna dewan kononnya nak runtuh, tak benar buat program konvokesyen SADA di situ. Selepas itu ada pula program lain dibuat di dewan sama dan tidak jadi apa-apa pun. Patutlah tak benarkan kita buat program di situ,” katanya.
Baru-baru ini, UUM menerusi laman Facebook rasmi universiti itu memuat naik ucapan tahniah atas pelantikan Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim sebagai Ahli Lembaga Pengarah UUM mewakili sektor swasta, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2026 hingga 30 April 2029.
Muhamad Khizri yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik, sebelum ini merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) menentang Sanusi.
Dalam PRN 2023 itu, Sanusi berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeneri dengan majoriti 16,050 undi selepas memperoleh 21,823 undi menewaskan Muhamad Khizri yang meraih 5,773 undi.

0 Comments