Oleh: Roslinda Hashim
PADANG TERAP - PAS dan Perikatan Nasional (PN) mampu menerajui pentadbiran negara pada masa depan berasaskan pendekatan politik berteraskan Islam dan kesungguhan perjuangan, kata Pengerusi PN Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, PAS memasuki medan siasah bukan semata-mata untuk merebut kuasa, sebaliknya membawa misi memartabatkan Islam melalui proses demokrasi yang disifatkan sebagai ‘jihad demokrasi’.
Menurutnya, perjuangan PAS berpandukan contoh sejarah pemerintahan Islam serta Piagam Madinah sebagai asas pentadbiran yang adil dan menyeluruh.
“PAS bukan ada janji pelik-pelik. Kita janji dengan kesungguhan kita, mahu pimpin ummah ke medan siasah. Kita berada dalam medan demokrasi untuk meletakkan Islam pada tempatnya.
“Matlamat akhir PAS ialah untuk mendaulatkan Islam melalui kemenangan dalam pilihan raya dan seterusnya membentuk kerajaan, serta melaksanakan politik Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Padang Terap, pada Rabu.
Sanusi turut membandingkan pendekatan PAS dengan Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya sering membuat pelbagai janji sebelum ini namun tidak dilaksanakan apabila memegang kuasa.
Beliau tegaskan, PAS kekal dengan identitinya walaupun sering dilabel sebagai ‘parti pak lebai’ dan dikaitkan dengan ‘tin milo’ kerana dana diperolehi parti menerusi derma ahlinya.
“PAS dikenali sebagai parti tin milo, dengan tin milo itu lah, kita ambil negeri Kedah, Teregganu dan Kelantan.
“Dengan tin milo itu juga kita akan ambil Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dalam PRU akan datang.
“Dengan tin milo juga kita akan ambil kerusi Parlimen sebanyak mungkin untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
“Dengan tin milo ini lah, kita akan perintah negara dengan keadilan Islam dan harmoni untuk semua kaum, inilah perjuangan PAS,” katanya penuh bersemangat.
Menurutnya lagi, PN akan bertarung di medan pilihan raya sehingga beroleh kemenangan dengan identiti tersendiri.
“Kita akan lawan sampai menang, dengan identiti kita. Kita dikenali bukan kerana kemewahan, tetapi kerana keikhlasan dan kekuatan jentera akar umbi.
“Insya-ALLAH kita akan terus menang di Kedah dan suatu hari nanti mentadbir Malaysia,” katanya.
Tambah beliau lagi, usaha menafikan pencapaian PAS termasuk di Kedah tidak akan melemahkan perjuangan parti, sebaliknya akan menguatkan lagi sokongan rakyat terhadap PN.
“PAS mula dikenali apabila kita perintah beberapa negeri dengan menunjukkan prestasi yang baik. Usaha untuk menconteng arang di muka kita, dilakukan dengan pelbagai cara. Kebaikan kita cuba disembunyikan, bimbang PAS jadi pilihan.
“Berilah peluang sekali untuk PAS bersama PN perintah negara ini, kita akan makmurkan bumi ini,” katanya.

0 Comments