PRESTASI KEWANGAN KUKUH, SURPLUS MENINGKAT, KEDAH DI LANDASAN YANG BETUL


Oleh: Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Prestasi kewangan Kerajaan Negeri Kedah bagi tahun 2025 menunjukkan perkembangan positif, apabila kutipan hasil negeri meningkat kepada RM816.6 juta berbanding RM769.5 juta pada tahun sebelumnya.

Profesor di Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, peningkatan sebanyak RM47.07 juta atau 6.11 peratus itu membuktikan ekonomi dan pengurusan hasil negeri berada pada landasan yang memberangsangkan.

Menurut Felo Ekonomi dan Perniagaan di The Future Research itu, ini membuktikan Kerajaan Negeri turut berjaya mengawal perbelanjaan secara lebih berhemah apabila jumlah perbelanjaan hanya meningkat 1.25 peratus daripada RM758.3 juta pada tahun 2024 kepada RM767.9 juta (2025).

“Perbelanjaan hanya meningkat sebanyak RM9.51 juta (1.25 peratus), sekali gus membuktikan disiplin pengurusan kewangan dan tadbir urus yang lebih cekap dan berhemah,” katanya, hari ini.

Baharom berkata, kadar penggunaan bajet juga menurun daripada 88.89 peratus kepada 86.29 peratus sekali gus memberi gambaran Kerajaan Negeri lebih berhati-hati dalam mengurus kewangan serta tidak berbelanja secara melampau walaupun hasil negeri meningkat.

“Biar pun jumlah perbelanjaan meningkat sedikit kepada RM767.9 juta pada 2025 berbanding RM758.3 juta pada tahun 2024, namun keadaan ini menunjukkan kemampuan Kerajaan Negeri mengimbangi pertumbuhan hasil dengan kawalan perbelanjaan secara efisien dan berdisiplin,” katanya.

Tambah beliau, pencapaian paling ketara ialah peningkatan surplus kewangan negeri daripada RM11.16 juta pada tahun 2024 kepada RM48.72 juta pada tahun 2025.

Katanya, lebihan kewangan yang besar itu menunjukkan Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan kewangan lebih kukuh dan stabil selepas menampung keseluruhan perbelanjaan negeri.

“Keadaan ini memberi lebih banyak ruang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan serta memperluaskan program kebajikan rakyat,” ujarnya.

Tegas Baharom, secara keseluruhannya, prestasi kewangan tahun 2025 membuktikan pengurusan kewangan Negeri Kedah berada pada landasan yang baik, progresif dan berdaya tahan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

Post a Comment

0 Comments