Oleh: Hafiz Mansor,
Ketua Penyelidik
Yayasan Kedah Sejahtera
Akhbar The Edge melaporkan sebuah syarikat pembangunan pusat data, Maxland Bhd telah membatalkan dua cadangan pajakan tanah bagi pusat data (data centre) dan sistem perkhidmatan penyejukan daerah (district cooling system) di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.
Dua perjanjian tersebut berkait dengan perjanjian pembangunan pusat data bersama Kulim Technology Park Corporation (KTPC) dengan Maxland Data Sdn Bhd yang ditandatangani pada Disember 2024.
Ia melibatkan perjanjian pajakan tanah selama 60 tahun dengan tanah seluas 4.56 ekar di Zon Perindustrian Fasa 2 KHTP.
Jumlah projek dianggarkan berjumlah RM9.95 juta.
Satu lagi perjanjian melibatkan projek perkhidmatan penyejukan daerah bersama Maxland Kool Sdn Bhd yang ditandatangani pada Februari 2025 melibatkan tanah seluas 4.85 ekar di Zon Perindustrian Fasa 2 KHTP.
Anggaran kos projek adalah RM10.57 juta.
YAB Dato' Seri Menteri Besar Kedah menjelaskan, pihak pelabur mencadangkan penggunaan tanah melebihi 400 ekar tanah di Fasa 5 KHTP untuk tujuan tersebut.
Perkara ini menyebabkan Kedah bakal menghadapi kos melepas (opportunity cost) yang besar.
YAB Menteri Besar menyatakan peluang pekerjaan yang bakal ditawarkan dengan pembangunan pusat data hanyalah sekitar 1,000 orang, sedangkan keluasan tanah tersebut sepatutnya berpotensi membuka peluang pekerjaan sehingga 15,000 orang.
Malah, bekalan air dan elektrik yang diperlukan untuk menampung sistem penyejukan pusat data pula bersamaan dengan pembangunan tiga hingga ke empat buah kilang pembuatan di sana.
Pendirian YAB Menteri Besar tersebut berasas. Isu ketidakcukupan bekalan sumber untuk menampung pembangunan pusat data menjadi isu utama yang diketengahkan ketika ini, tidak terhad di peringkat negeri, malah menjadi isu di peringkat nasional mahupun global.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mendedahkan bekalan air yang digunakan untuk menampung operasi 104 buah pusat data bersamaan 876 juta liter air sehari pada 2025.
Manakala penggunaan domestik seliter air sekitar 228 liter seorang bagi sehari.
Bank Negara Malaysia juga mengeluarkan suatu artikel pada Suku Ketiga 2025 bertajuk "From Bytes to Bucks: The Economics of Data Centre in Malaysia".
Artikel tersebut menjelaskan Malaysia berhadapan dua risiko utama dengan pembangunan pusat data.
Pertama, penggunaan bekalan air dan tenaga yang tinggi untuk operasi. 50MW pusat data bersaiz sederhana/kecil bersamaan penggunaan elektrik 22,000 penggunaan isi rumah.
Manakala penggunaan air pula bersamaan 2,200 isi rumah.
Kedua adalah isu rangkaian bekalan domestik yang masih belum mampan untuk menampung keperluan kelengkapan tertentu. Pusat data memerlukan pengimportan kelengkapan seperti "server rack" dan sistem penyejukan dan lainnya dalam suatu jumlah besar dan mengalami peningkatan saban tahun.
Keadaan ini juga secara asasnya mendorong peluang yang terhad kepada vendor-vendor tempatan, pembangunan rangkaian nilai tambah selain isu pemindahan teknologi yang perlahan.
Johor, antara negeri yang menjadi tumpuan terhadap pembangunan pusat data limpahan daripada Singapura turut melaksanakan langkah menghentikan kelulusan projek pusat data Tier 1 dan Tier 2 sejak November 2025.
Ini kerana projek pusat data Tier 1 dan Tier 2 menggunakan kapasiti air sehingga 200 kali ganda berbanding projek Tier 3 dan Tier 4.
Apa yang menjadi titik utama di sini adalah tidak terhad kepada soal kecukupan bekalan air dan tenaga untuk menampung keperluan domestik, isi rumah yang kemudiannya kepada pembangunan pusat data semata-mata.
Bahkan apa yang harus dinilaikan secara teliti juga adalah soal kelestarian sumber bekalan tersebut untuk jangka masa panjang.
Dalam masa sama, pelaburan dalam sektor digital dan pusat data mengalami peningkatan yang ketara.
Sepanjang tempoh 2021 sehingga Separuh Tahun Pertama 2025, pelaburan dalam sektor ini telah mencecah RM144.4 bilion, menjadikannya komposisi utama bagi sumber FDI negara dalam tempoh tiga tahun terakhir mengatasi sektor pembuatan.
Namun, tanpa suatu koordinasi kukuh selain pelan strategik jangka panjang, pembangunan pusat data di Malaysia tidak mampu untuk kekal lestari bahkan tidak mustahil menjejaskan perancangan bandar untuk jangka masa panjang.
0 Comments