KELUAR DULU DARI KERAJAAN PERPADUAN BARU ISYTIHAR ‘GO SOLO’
May 20, 2026
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA Ketua Penerangan PAS Kedah.
Para pemimpin UMNO yang berada dalam kabinet Kerajaan Perpaduan nampaknya membisu apabila para pemimpin DAP mempertikai maksud titah Tuanku Sultan Selangor yang tidak mahu ladang babi diwujudkan di negeri itu.
Seorang demi seorang pemuka DAP ‘menunggang’ hak-hak dalam Perlembagaan Negara (kononnya) bagi mewajarkan tindakan biadap mereka terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
Dalam waktu yang sama juga DAP berjaya menekan kabinet Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf UEC dalam sistem Pendidikan Negara. UMNO membisu juga.
Terdahulu, Di Negeri Sembilan semua tahu 14 ADUN UMNO tunduk pada kehendak DAP untuk tidak jadi tumbangkan Menteri Besar yang jadi proksi DAP.
Semua sikap yang ditunjukkan oleh UMNO menunjukkan mereka seolah-olah tidak sanggup berpisah dengan DAP. Apakah semangat “Umdap Mantap” masih menjiwai mereka?
Agak terpisah dari realiti apabila Ketua Penerangan UMNO Kedah berkata, UMNO tidak akan sesekali berdiam diri melihat ada pihak dalam Kerajaan Perpaduan (DAP) yang semakin galak bercakap besar dan mempertikai asas negara hanya kerana merasakan diri mempunyai kuasa politik hari ini.
Begitu jugak apabila UMNO Johor mencanang kononnya mahu bergerak bersendirian (go solo) dalam pilihanraya umum ke 16.
Sikap Umno terhadap DAP nampaknya tidak konsisten. Sekejap tunduk, sekejap nak tunjuk tegas.
Rasanya, UMNO tidak perlu mengambil sikap berbelit-belit seperti itu yang dilihat seolah-olah mahu menipu rakyat.
Kalau rasa nak ‘go solo’ dalam pilihanraya, keluar saja dari Kerajaan Perpaduan yang didominasi DAP.
Di akar umbi, ahli-ahli dan penyokong UMNO sudah selesa dan mesra dengan ahli-ahli PAS, selepas sejurus pernah bersama dalam semangat Muafakat Nasional.
Maka tunggu apa lagi pemimpin-pemimpin UMNO? Marilah ikut jejak ahli-ahli di akar umbi. Ada kalanya para pemimpin atasan UMNO kena ikut teladan ahli bawahan kalau mahu menikmati rasa perpaduan ummah.
0 Comments