POTENSI PELABURAN USD20 BILION DI SBEZ DELAPAN PERKUKUH KEDAH SEBAGAI HAB INDUSTRI STRATEGIK

 

Ku Azizah Ku Hamid

KUALA LUMPUR - Kedah terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab industri strategik negara apabila pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) DELAPAN di Bukit Kayu Hitam diunjurkan menarik potensi pelaburan bernilai USD20 bilion melibatkan kawasan pembangunan industri seluas 1,400 ekar.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, potensi besar itu dizahirkan menerusi kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Shenzhen-Longhua dan Pentas Industrial City, DELAPAN Kedah yang berlangsung di ibu negara.

Menurut beliau, program tersebut turut menghimpunkan delegasi Kerajaan Negeri Kedah, pelabur antarabangsa serta lebih 40 syarikat dari Shenzhen, China bagi meneroka peluang pelaburan dan kerjasama strategik di Kedah.

“Kerjasama strategik ini merupakan kesinambungan kepada siri lawatan kerja dan pemeteraian kerjasama yang telah berlangsung sejak tahun 2025 melibatkan Shenzhen Government Procurement Group dan Northern Gateway Sdn. Bhd., iaitu syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi kerjasama ekonomi dan perdagangan tersebut di sini.

Haim Hilman turut berkongsi kekuatan dimiliki Kedah sebagai destinasi pelaburan strategik negara khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi termasuk elektrik dan elektronik (E&E), bahan kimia, bateri tenaga serta industri masa hadapan.

Katanya, keyakinan pelabur terhadap Kedah turut dibuktikan apabila merekodkan RM27.8 bilion pelaburan diluluskan sepanjang tahun 2025 sekali gus meletakkan negeri ini antara peneraju utama sektor pembuatan negara.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Kedah komited menyediakan sokongan terbaik kepada pelabur bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri terus berkembang secara mampan, kompetitif dan berdaya tahan di peringkat antarabangsa.

“Hubungan erat Kedah dan Shenzhen-Longhua diyakini mampu membuka lembaran baharu kepada pembangunan ekonomi negeri menerusi pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan serta penciptaan lebih banyak peluang kerja berpendapatan tinggi untuk rakyat,” katanya.

Post a Comment

0 Comments