1. Satu naratif janggal yang sering dimainkan sejak beberapa tahun kebelakangan ialah kononnya sektor pelancongan di Langkawi merosot dan ‘kemerosotan’ itu berpunca daripada kelemahan Kerajaan Negeri Kedah.
2. Terbaharu, Ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Teresa Kok yang pada November tahun lalu mencadangkan Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan, wilayah khas atau zon antarabangsa, mendakwa Kerajaan Negeri tidak berbuat apa-apa untuk mempromosikan Langkawi.
3. Tuduhan itu kedengaran janggal kerana ia dibuat ketika Kerajaan Negeri Kedah baru sahaja melaksanakan kempen Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025) dengan Langkawi sebagai fokus utama.
4. Hakikatnya, kempen tersebut menunjukkan hasil yang positif. Kedah merekodkan kemasukan kira-kira 7 juta pelancong sepanjang tahun 2025, manakala Langkawi sahaja menerima sekitar 3.2 juta pelancong - peningkatan yang signifikan berbanding beberapa tahun sebelumnya.
5. Persoalan yang lebih penting ialah: Adakah pembangunan sektor pelancongan Langkawi merupakan tanggungjawab eksklusif Kerajaan Negeri semata-mata?
6. Jika begitu, mengapa struktur kutipan hasil dan cukai jauh lebih memihak kepada Kerajaan Persekutuan?
7. Berdasarkan struktur percukaian Malaysia yang sangat berpusat, sebahagian besar hasil ekonomi daripada aktiviti pelancongan sebenarnya mengalir terus ke kantung Kerajaan Persekutuan. Antara hasil utama yang diperoleh Kerajaan Persekutuan ialah cukai pendapatan individu, cukai pendapatan syarikat, cukai pelancongan, duti eksais, SST serta pelbagai bentuk cukai dan levi berkaitan industri pelancongan dan perkhidmatan.
8. Dalam konteks Langkawi, keadaan ini mewujudkan situasi yang boleh dianggap sebagai under-monetised terhadap Kerajaan Negeri. Maksudnya, walaupun industri pelancongan berkembang pesat dan aktiviti ekonomi rancak berlaku, manfaat fiskal langsung yang diterima Kerajaan Negeri adalah relatif kecil berbanding Kerajaan Persekutuan.
9. Malah dalam banyak keadaan, kutipan oleh pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan lebih besar dan lebih langsung sifatnya berbanding hasil yang diterima Kerajaan Negeri sendiri.
10. Secara asas, sumber hasil utama Kerajaan Negeri hanyalah premium tanah, cukai tanah dan beberapa hasil terhad lain seperti cukai hiburan jika berkaitan. Selebihnya bergantung kepada dividen daripada agensi atau syarikat milik kerajaan negeri, yang nilainya pula bergantung kepada tahap pembangunan ekonomi semasa.
11. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menikmati pelbagai bentuk kutipan cukai secara langsung, malah turut memperoleh manfaat strategik daripada Langkawi sebagai salah satu pemacu utama industri pelancongan negara.
12. Lebih penting, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sendiri merupakan agensi Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kewangan yang diwujudkan khusus untuk membangunkan Langkawi, terutama dalam sektor pelancongan dan ekonomi.
13. Justeru, cubaan menuding jari sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Kedah sambil mengabaikan peranan besar serta dominasi fiskal Kerajaan Persekutuan dalam ekosistem ekonomi Langkawi bukan sahaja tidak adil, malah memperlihatkan kefahaman yang cetek terhadap struktur federalisme fiskal di Malaysia.
14. Lebih ketara, naratif yang berulang-ulang dimainkan ini dilihat mempunyai motif politik yang jelas, iaitu untuk membentuk persepsi negatif terhadap kepimpinan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Menteri Besar Kedah.
15. Apa sahaja isu berkaitan Langkawi cuba diputar seolah-olah berpunca sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri, sedangkan realitinya struktur kuasa, agensi pembangunan dan manfaat fiskal terbesar berada di tangan Kerajaan Persekutuan sendiri.
16. Dalam erti kata lain, jika Kerajaan Negeri mahu dipersalahkan secara total terhadap prestasi Langkawi, maka logiknya Kerajaan Persekutuan juga mesti dipertanggungjawabkan secara lebih besar - kerana pihak yang menerima manfaat fiskal terbesar daripada Langkawi sebenarnya ialah Kerajaan Persekutuan sendiri.

0 Comments