TIDAK LETAK CALON BUKAN GENTAR, IA ASAS REALITI POLITIK
Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencabar Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada pilihan raya akan datang bagi membuktikan dakwaan bahawa PAS tidak berani berdepan parti itu.
Cabaran itu dibuat susulan kenyataan Anthony Loke yang mendakwa PAS gentar untuk bersemuka dengan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan hanya bergantung kepada 'proksi', iaitu Barisan Nasional (BN).
"Saya habaq dekat Anthony Loke, pilihan raya akan datang mari bertanding di Jeneri. Kita tengok langit tinggi atau rendah.
"Kalau dia kata PAS tak berani bertanding di kawasan Cina, kamu pun tak berani bertanding di kawasan Melayu. Marilah bertanding di Jeneri. Suruh DAP datang bertanding kawasan Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Kedah Kali Ke-49 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pola pembahagian kerusi dalam pilihan raya di negara ini sememangnya dipengaruhi komposisi kaum di sesuatu kawasan dan ia merupakan realiti yang telah wujud sejak sekian lama.
"Kawasan pilihan raya berasaskan penduduk setempat. Kalau majoriti Cina, tak kan PAS nak pergi bertanding situ? Tentulah DAP bertanding situ. Kawasan Melayu pula, PAS, UMNO atau BERSATU yang bertanding.
"Pengundi DAP, mereka tahu siapa penyokong mereka. PAS pun tahu siapa pengundi kita, dan
siapa tak sokong kita. Itu realiti.
“Tak payahlah cabar benda yang tidak logik. Kalau saya suruh dia bertanding Jeneri, mahu ke? Anthony Loke,Tony Pua, Hannah Yeoh, mari bertanding di Jeneri, ini kawasan Melayu. Nak kenal langit tinggi rendah, silakan,” katanya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu menegaskan keadaan itu bukan strategi politik, sebaliknya realiti landskap politik negara yang dijadikan panduan dalam meletakkan calon.
"Kalau konteks Johor, DAP bertandinglah di Maharani, kawasan Melayu, tapi ia kawasan Melayu jadi parti-parti Melayu yang bertanding. Itulah realiti politik negara ini.
“Parti-parti politik di Malaysia berasaskan kaum. UMNO, PAS, BERSATU mewakili orang Melayu. MCA, Gerakan, DAP mewakili orang Cina. Kalau kawasan itu ada India lebih sikit, MIC, MIPP, IPF jadi wakil. Realiti politik kita macam itu. Tak payahlah pusing-pusing bagi orang ramai pening, buat apa.
“Pengundi kawasan Cina, DAP pergilah bertanding. Tempat majoriti Melayu, tentulah PAS pergi bertanding. Kalau konteks Kedah, UMNO dengan PAS saja saingan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Anthony Loke mendakwa PAS gentar berdepan DAP secara langsung pada PRN Johor, sebaliknya memilih untuk bergantung kepada BN sebagai 'proksi'.
Loke berkata, keputusan PAS tidak meletakkan calon di kawasan ditandingi DAP menjadi sebahagian strategi menyatukan undi bagi calon BN, terutamanya daripada MCA.
Loke turut menyifatkan PAS sebagai parti tidak berprinsip kerana menyeru penyokong untuk menyokong BN di kerusi tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

0 Comments