Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid membidas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kenyataannya yang mengaitkan pelancongan di Langkawi dengan Festival Muzik Rain Rave.
Ku Abd Muhyi berkata, kempen Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025) berjaya mencapai sasaran tujuh juta pelancong dengan impak ekonomi dianggarkan antara RM4.9 bilion hingga RM7 bilion.
Menurut beliau, kejayaan tersebut membuktikan pendekatan berasaskan identiti tempatan melalui tema ‘Experience Kedah’ berupaya menarik kehadiran pelancong tanpa perlu bergantung kepada penganjuran acara berunsur budaya luar.
“Wahai YB Teresa Kok, alang-alang tanya pasai ‘cadangan konstruktif’ pelancongan, mai saya nak sekolahkan YB.
“Tahun lepas Kerajaan Negeri Kedah anjurkan TMK2025. Apa fokus TMK 2025? Kami guna tema ‘Experience Kedah’. Maksudnya apa? Maksudnya orang yang mai melancong di Kedah merasai apa yang istimewa ada di Kedah.
“Bukan cipta atau cedok budaya luar mai jadi ‘event’ utama pelancongan di sini macam Rain Rave,” katanya.
Beliau tegaskan, penganjuran acara seperti ‘Rain Rave’ tidak mencerminkan budaya tempatan dan tidak seharusnya dijadikan tarikan utama pelancongan.
“Pendekatan Kedah lebih jelas, pelancong datang untuk merasai keunikan Kedah melibatkan flora dan fauna, tapak bersejarah serta makanan tradisional di setiap daerah.
“Kita ajak orang mai tengok tempat kita sebab kita nak berkongsi budaya dan adat yang ada di tempat kita. Itulah kebanggaan kita,” katanya.
Ku Abd Muhyi turut mempertahankan kedudukan Langkawi yang diiktiraf sebagai pulau kedua destinasi pelancongan di Asia tahun 2025.
“YB Teresa kata jangan jadi macam Langkawi. YB berapa kali dah dok mai Langkawi dalam setahun dua ni? YB tak belajar tengok data ka?” soalnya.
Tambah beliau lagi, rekod ketibaan pelawat ke Langkawi menunjukkan peningkatan ketara bagi tempoh 2021 hingga 2025 berdasarkan data yang dirujuk melalui Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta Kedah Tourism.
“Zaman sekarang banyak sumber maklumat boleh dapat. Itu pun kami nak kena ajar ka? Melainkan memang ada cubaan nak bawa naratif kononnya Langkawi gagal untuk tujuan dan kepentingan lain,” katanya.
Ku Abd Muhyi berkata, bantahan terhadap penganjuran acara hiburan tertentu bukan bersifat menolak pelancongan, sebaliknya bagi memastikan sektor itu berkembang selari dengan nilai dan identiti budaya tempatan.
“Kalau ya pun nak pertahankan pesta Rain Rave di Kuala Lumpur, tak perlulah sampai nak spin sampai ke sini (Langkawi) makcik. Kami bantah Rain Rave sebab ia tak mewajahkan budaya orang Malaysia. Alang-alang petik nama Langkawi, mai la pakat-pakat bercuti di Langkawi,” katanya.
Sebelum ini, Teresa menggesa Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membentangkan cadangan membina bagi menarik pelancong asing serta merangsang ekonomi tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Ia berikutan, Mohamed Sukri mendakwa Festival Rain Rave tidak mencerminkan identiti Malaysia, manakala Akmal mempersoalkan mengapa festival itu tidak dibatalkan atas alasan penjimatan kerajaan.
Teresa turut mengaitkan prestasi PAS dalam sektor pelancongan di Langkawi yang didakwanya gagal ditadbir urus Kerajaan Negeri sehingga menyebabkan kemerosotan mendadak jumlah pelancong asing dan domestik.
“Sekiranya tidak setuju dengan penganjuran konsert jalanan atau festival muzik, mereka bertanggungjawab untuk bentangkan program lain yang mampu bawa masuk berjuta-juta pelancong.
“Jangan jadikan Malaysia sebuah negara lesu pelancongannya seperti di Langkawi akibat imej dan dasar Kerajaan Negeri pimpinan PAS,” kata Teresa.
DATA KETIBAAN PELAWAT DI TITIK-TITIK SENTUH LANGKAWI MERANGKUMI JETI, KAPAL PERSIARAN, YATCH, LAPANGAN TERBANG DAN PELABUHAN LANGKAWI:
TAHUN JUMLAH KETIBAAN PELAWAT
2021 1,093,937
2022 2,581,605
2023 2,810,322
2024 2,904,629
2025 3,215,730

0 Comments