JANJI PN: HARGA LANTAI BELIAN PADI RM3,000 JIKA BERJAYA BENTUK KERAJAAN

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) berjanji akan meringankan beban pesawah dengan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM3,000 bagi setiap tan metrik sekiranya berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sasaran itu realistik memandangkan harga semasa, iaitu RM1,500 per tan metrik tidak jauh berbeza dengan tuntutan pesawah pada ketika ini.

Menurut beliau, penetapan harga lantai yang lebih tinggi dan stabil amat diperlukan seiring dengan kos semasa dan diyakini mampu merancakkan semula aktiviti penanaman padi selain meningkatkan produktiviti.

“RM3,000 (per tan metrik) kami boleh masukkan sebagai akujanji dalam manifesto PRU nanti. Insya-ALLAH kita akan laksanakan harga lantai padi RM3,000. Itu adalah janji yang kami berikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Aman Pesawah di Kampung Alor Setoi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob menuntut harga lantai padi dinaikkan kepada RM3,000 per tan metrik bagi memastikan pesawah memperoleh margin keuntungan yang lebih munasabah.

Perkara itu berulang kali dibangkitkan agar golongan pesawah dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih selesa.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pengalaman PN mentadbir negara selama dua tahun pada 2020 dan 2021 membuktikan gabungan itu berupaya mengurus ekonomi serta membantu rakyat termasuk golongan pesawah.

“Meskipun PN kini tidak lagi bergelar kerajaan, pengalaman lalu berdepan pandemik Covid-19 ketika itu membuktikan kerajaan PN berjaya menyalurkan kira-kira RM530 bilion menerusi pelbagai pakej rangsangan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Ketika itu kerajaan PN diuji dengan pandemik Covid-19 sehingga ada pihak mengatakan kerajaan tidak akan mampu bertahan lama termasuk meramalkan negara bakal bankrap selepas tiga bulan. 

“Namun kita berjaya atasi krisis sama ada aspek kesihatan, ekonomi atau kos sara hidup, dengan memastikan rakyat ada makanan di atas meja,” katanya lagi.

Tegas Takiyuddin, tiada alasan untuk kerajaan hari ini menyatakan tiada dana, termasuk dalam soal pemberian subsidi diesel kepada petani yang sangat memerlukan bantuan untuk operasi jentera pertanian.

“Tiada alasan untuk kerajaan kata tak ada duit untuk beri subsidi diesel kepada rakyat terutamanya petani yang jenteranya guna diesel. Mereka perlukan bantuan kerajaan, kalau tak tolong buat apa jadi kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, siri himpunan bangkit rakyat bagi membawa suara golongan petani akan diteruskan di beberapa lokasi termasuk di Pejabat Perdana Menteri dan bangunan Parlimen.

“Kalau secara aman tak ada orang akan dengar kita, kalau kita buat secara aman kita kena bangkit dulu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Kerajaan Madani agar suara rakyat diberi perhatian sewajarnya bagi mengelakkan ketidakpuasan berpanjangan yang boleh mencetuskan reaksi lebih besar.

“Jangan main-main dengan rakyat, dengan pegawai dan anggota kerajaan bolehlah main-main tapi dengan rakyat, sekali rakyat bangkit, kesannya besar. Contohnya di Sri Lanka, Perdana Menteri dihumban ke sungai,” katanya.

Post a Comment

0 Comments