LANGKAWI TIDAK LESU, DATA BUKTIKAN PELANCONG MENINGKAT SEJAK 2021

 

Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Pulau Langkawi terus mencatatkan peningkatan ketara jumlah pelancong setiap tahun sejak 2021, sekali gus menepis dakwaan kononnya sektor pelancongan di pulau lagenda itu merosot.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, berdasarkan statistik rasmi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), jumlah kemasukan pelancong menunjukkan trend peningkatan konsisten walaupun selepas pandemik COVID-19.

Menurut beliau, pada tahun 2021, Langkawi merekodkan 1,093,937 pelancong ketika negara masih dalam fasa pemulihan pandemik, dan angka itu terus meningkat hampir dua kali ganda kepada 2,581,605 pada tahun 2022.

“Trend ini terus meningkat kepada 2,810,322 pada tahun 2023, seterusnya 2,904,629 pada tahun 2024, dan melonjak kepada 3,215,730 pelancong pada tahun 2025 sempena Tahun Melawat Kedah (TMK2025),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Salleh berkata, data tersebut jelas menunjukkan tiada penurunan dalam jumlah pelancong ke Langkawi seperti didakwa pihak tertentu, sebaliknya mencatatkan pertumbuhan berterusan dari tahun ke tahun.

“Saya terpanggil menjawab kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang dalam hantaran di akaun Facebooknya mendakwa kononnya pelancongan Langkawi merosot akibat kegagalan tadbir urus Kerajaan Negeri Kedah.

“Saya menasihatkan Teresa supaya semak fakta terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan terbuka,” katanya.

Tambah beliau, LADA merupakan agensi Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pelancongan Langkawi, justeru semua statistik dikeluarkan adalah data rasmi dan berautoriti.

“Tidak sukar untuk buat semakan kerana statistik rasmi kemasukan pelancong ke Langkawi sentiasa tersedia di laman web LADA, lengkap dengan graf kemasukan bulanan.

“Data jelas menunjukkan setiap tahun jumlah pelancong ke Langkawi meningkat. Tidak ada penurunan seperti cuba digambarkan. Dengan peningkatan yang konsisten ini, tidak timbul soal Langkawi lesu. Dakwaan sedemikian hanya membentuk persepsi negatif yang tidak berpijak kepada fakta,” katanya.

Mohd Salleh turut merujuk data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang meletakkan Kedah di tangga kelima tertinggi destinasi pelancongan negara pada tahun 2024 dengan 6.9 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

“Untuk makluman juga, DOSM bukan jabatan atau agensi negeri. Bagi tahun 2025, kita masih menunggu angka rasmi DOSM, dan kita menjangkakan angka itu terus meningkat melepasi 7 juta pelancong,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Salleh menasihatkan Teresa supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan serta menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan terbuka.

“Langkawi tidak lesu, sebaliknya terus berkembang sebagai destinasi pelancongan utama negara.  Kedah terus menerima kehadiran pelancong yang meningkat dari tahun ke tahun. Itu fakta, dan itu juga kenyataan,” tegas beliau.

Sebelum ini, Teresa mendakwa prestasi PAS dalam sektor pelancongan di Langkawi sebagai gagal ditadbir urus Kerajaan Negeri sehingga menyebabkan kemerosotan mendadak jumlah pelancong asing dan domestik. 

“Sekiranya tidak setuju dengan penganjuran konsert jalanan atau festival muzik, mereka bertanggungjawab untuk bentangkan program lain yang mampu bawa masuk berjuta-juta pelancong.

“Jangan jadikan Malaysia sebuah negara lesu pelancongannya seperti di Langkawi akibat imej dan dasar Kerajaan Negeri pimpinan PAS,” kata Teresa.

Kenyataan itu dibuat setelah mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk PAS, berhubung penganjuran Festival Muzik Rain Rave di Kuala Lumpur.

DATA KETIBAAN PELAWAT DI LANGKAWI MERANGKUMI JETI, KAPAL PERSIARAN, YATCH, LAPANGAN TERBANG DAN PELABUHAN LANGKAWI:

TAHUN    JUMLAH KETIBAAN PELAWAT

2021  1,093,937

2022  2,581,605

2023  2,810,322

2024  2,904,629

2025  3,215,730

Post a Comment

0 Comments