Oleh: Roslinda Hashim
PADANG TERAP - UMNO sedang memainkan naratif politik dengan menggunakan slogan ‘go solo’ bagi menggambarkan parti itu menentang DAP, namun realitinya parti itu akan kembali bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, naratif tersebut hanya bertujuan untuk mempengaruhi pengundi Melayu supaya kembali menyokong UMNO dalam PRU16.
“Jangan percaya naratif ‘go solo’, akhirnya mereka (UMNO-DAP) berpakat semula. UMNO sekarang cuba secure sokongan dengan main silap mata, kononnya lawan DAP, sedangkan di belakang tetap bekerjasama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Padang Terap, pada Rabu.
Menurut Sanusi, strategi itu digerakkan bagi mewujudkan persepsi bahawa UMNO menolak DAP, terutama menjelang PRU di beberapa negeri seperti Melaka, Johor dan mungkin Negeri Sembilan yang didakwa berdepan krisis politik.
“Nak tunjuk pada orang Melayu bahawa UMNO tolak DAP, buatlah krisis dan hentam DAP tetapi di belakang cium mulut (politik) jadi UMDAP. Usaha itu untuk mengaburi mata orang Melayu, bimbang semakin jauh dari parti itu, maka buatlah naratif lawan DAP. Jangan bohong banyak sangat nanti malu pada diri sendiri,” katanya.
Tambah beliau, naratif itu adalah bagi memancing undi Melayu agar UMNO dapat kembali berkuasa.
“Mereka dulu kata lawan DAP, sekarang duduk sekali dalam kerajaan. Habis mengundi PRU16, mereka akan pakat semula dengan DAP, tubuhkan kerajaan. Tunggu tengok, semua itu (go solo) mengarut,” katanya.
Sanusi tegaskan, UMNO berbeza dengan PAS yang konsisten dalam perjuangan walaupun tanpa jawatan dalam kerajaan.
“Ahli PAS terus bekerja walau tiada jawatan. Bila diperlukan, kita turun membantu secara sukarela. Itu kekuatan kita. UMNO kalau tak ada jawatan, ibarat habis oksigen.
“Bila rakyat tahu kita ada orang-orang hebat yang korbankan masa, wang ringgit dan tenaga untuk menyelamatkan negara ini, kenapa nak tolak kita.
“PAS pernah tawarkan persahabatan dengan UMNO, kita lupakan sengketa, lupakan apa jua peristiwa termasuk insiden Lubuk Merbau dan Memali. Kita maafkan demi persahabatan, ikhlasnya kita,” jelasnya.
Tambah beliau, namun UMNO tidak pernah berubah dan sering mengulangi kesilapan lalu.
“Masih nak percaya UMNO? Bagaimana UMNO berkuasa, kita akan cerita sebagai subjek sejarah saja,” katanya.
Dalam masa sama, beliau tegaskan, pengundi telah menunjukkan penolakan terhadap UMNO di Kedah pada pilihan raya lalu, termasuk di beberapa kerusi utama seperti Padang Terap.
“Kalau bukan PAS menang, UMNO akan menang. Tetapi rakyat sudah beri isyarat jalan keluar kepada UMNO dalam beberapa PRU lepas,” katanya.

0 Comments