MASALAH KEKURANGAN PARKIR DI HSB BERAKHIR, PARKIR BERTINGKAT BAKAL BEROPERASI


 
Oleh: Roslinda Hashim 

ALOR SETAR - Masalah kekurangan parkir dan kesesakan trafik di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dijangka berakhir apabila pembinaan tempat letak kereta bertingkat di hospital itu kini berada pada fasa akhir sebelum dibuka kepada orang ramai.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, kemudahan itu kini hanya menunggu proses akhir pengeluaran Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) sebelum dibenarkan beroperasi.

Menurut beliau, parkir bertingkat itu menyediakan sebanyak 560 tapak letak kereta selain tambahan 50 lot parkir dengan struktur berketinggian tiga tingkat bagi menampung keperluan pertambahan pelawat serta petugas kesihatan di hospital berkenaan.

“Alhamdulillah pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Hospital Sultanah Bahiyah di fasa akhir sebelum dibuka untuk kegunaan awam,” katanya, hari ini.

Ahmad berkata, pembinaan kemudahan tersebut dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan dan kekurangan parkir yang sekian lama membelenggu pengunjung serta kakitangan hospital berkenaan.

“Isu pembinaan tempat letak kereta bertingkat di HSB ini pernah dibangkitkan di Parlimen sebelum ini dan mendapat kerjasama penuh daripada pihak kerajaan untuk diselesaikan.

“Tugas saya adalah menyuarakan apa yang menjadi keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap kemudahan parkir baharu itu dapat mengurangkan kesukaran pelawat termasuk petugas kesihatan untuk mendapatkan tempat letak kenderaan selepas ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Post a Comment

0 Comments