ANAK BEKAS MB PERLIS DILEPAS, BEBAS TUDUHAN TUNTUTAN PALSU

 

Oleh: Roslinda Hashim 

KANGAR - Anak bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 37, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM19,000 tanpa dipanggil membela diri.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Nu'aman berkata, mahkamah perlu meneliti sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie sebelum tertuduh dipanggil membela diri.

Menurut beliau, dua isu utama diberi perhatian sepanjang perbicaraan ialah berkaitan keterangan serta pengesahan saksi terhadap bahan bukti kes selain penentuan sama ada orang kena tuduh (OKT) merupakan seorang ejen.

“Setelah meneliti keseluruhan keterangan saksi-saksi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan.

“Sehubungan itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selain wang jaminan dikembalikan,” katanya.

Sementara, peguam tertuduh, Mohd Fadhly Yaacob menyifatkan keputusan tersebut sebagai penamat kepada perjuangan anak guamnya selama dua tahun bagi membersihkan nama baiknya serta keluarga.

Katanya, pembebasan itu turut membersihkan nama bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang sebelum ini terjejas.

“Kami bersyukur selepas 11 saksi pendakwaan memberi keterangan, mahkamah akhirnya mempertimbangkan segala fakta dan isu perundangan secara teliti sebelum membuat keputusan melepas dan membebaskan Syafeeq,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan sebelum ini, Mohd Syafeeq didakwa mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan Pesanan Bekalan Perkhidmatan Kerajaan Negeri Perlis dengan niat memperdayakan tuntutan bernilai RM19,505.10 pada 14 Februari 2024

Post a Comment

0 Comments