Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Langkah membenarkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) biarpun secara terhad disifatkan sebagai permulaan kepada tuntutan lebih besar yang boleh menghakis asas sistem pendidikan nasional.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pada ketika ini terdapat pihak cuba menormalisasikan kemasukan pemegang UEC ke IPTA dengan alasan hanya melibatkan beberapa program pengajian.
Menurut beliau, alasan diberikan seolah-olah ia tidak memberi kesan besar kepada sistem sedia ada kerana didakwa hanya membabitkan bidang khusus berkaitan bahasa Cina.
“Ada pihak cuba menormalisasikan kemasukan pemegang UEC ke IPTA dengan alasan hanya terhad kepada program Bahasa Cina, Linguistik dan Bahasa Cina, Pengajian Cina serta Bahasa Cina dengan Pendidikan.
“Persoalannya, adakah tuntutan itu akan berhenti di situ?
“Keputusan Kabinet yang hanya benarkan beberapa program akademik tertentu jelas ditolak Dong Zong kerana mereka tidak berpuas hati dengan pengiktirafan bersifat terhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, apa yang bermula dengan tuntutan kecil kelak berpotensi menjadi tuntutan lebih besar atas nama kesaksamaan.
“Hari ini program bahasa, esok program ekonomi, lusa kejuruteraan, perubatan dan pelbagai bidang lain pula akan dituntut.
“Sebab itu ramai melihat langkah membenarkan UEC dengan syarat kredit Bahasa Melayu dan lulus Sejarah sebagai pintu yang sangat berbahaya. Ia kelihatan kecil, tetapi implikasinya besar terhadap masa depan sistem pendidikan nasional,” katanya.
Menurut Haim Hilman, isu UEC tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu akademik, sebaliknya melibatkan persoalan dasar negara dan pembinaan bangsa.
Katanya, mempertahankan sistem pendidikan nasional bukan bermaksud menolak kaum Cina atau bersikap rasis seperti didakwa pihak tertentu.
“Hakikatnya, pendidikan nasional ialah satu-satunya ruang yang masih mampu menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.
“Malaysia dibina atas kompromi pelbagai kaum, agama dan budaya. Justeru, mesti ada satu titik temu nasional yang dikongsi bersama dan pendidikan berteraskan kurikulum nasional ialah medium paling penting membentuk identiti bersama sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, sekolah bukan sekadar tempat mempelajari akademik, tetapi ruang membentuk empati, memahami budaya berbeza dan membina jati diri kebangsaan.
“Jika sejak kecil setiap kaum dipisahkan dalam sistem pendidikan berbeza, jangan hairan jika pada usia dewasa mereka sukar memahami antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada syarat kredit Bahasa Melayu dan lulus Sejarah benar-benar menyelesaikan persoalan asas berkaitan pembinaan identiti nasional.
“Persoalan sebenar bukan sekadar lulus dua subjek, tetapi adakah pelajar tersebut benar-benar melalui pengalaman pendidikan nasional yang sama seperti majoriti rakyat Malaysia?
“Adakah mereka membesar dalam ruang sosial yang sama dan berkongsi proses pembinaan identiti kebangsaan yang sama?” soalnya.
Menurut Haim Hilman, sistem pendidikan yang terlalu terpisah akan melahirkan generasi yang semakin jauh antara satu sama lain sehingga hubungan antara kaum akhirnya hanya bersifat ekonomi dan urusan kerja semata-mata.
“Apabila anak Melayu, Cina dan India tidak lagi membesar dalam ruang pendidikan yang sama, negara kehilangan jiwa kebersamaan.
“Lebih malang, ahli politik tertentu sanggup bermain isu ini demi laba politik jangka pendek. Mereka cuba gambarkan UEC ialah lambang keterbukaan dan kemajuan, hakikatnya mereka sedang membuka ruang kepada penghakisan asas pendidikan nasional, sedikit demi sedikit,” katanya.
Tambahnya, Malaysia memerlukan lebih banyak integrasi, bukannya pemisahan mengikut kelompok masing-masing.
“Sekolah ialah medium pembentukan bangsa. Jika medium itu dipisahkan mengikut kaum dan identiti tersendiri, negara akhirnya berdepan polarisasi yang semakin membesar.
“Semua rakyat perlu digalakkan berada dalam aliran pendidikan kebangsaan. Bahasa ibunda boleh terus dipelajari dan dimartabatkan, termasuk budaya, tetapi asas pendidikan negara mestilah berpaksikan sistem nasional yang sama.
“Mempertahankan syarat kemasukan IPTA berasaskan sistem nasional, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan tindakan ekstrem, sebaliknya mempertahankan kontrak sosial pendidikan negara.
“Negara ini tidak akan hancur akibat perbezaan kaum, tetapi akan hancur apabila rakyatnya sudah tidak lagi merasakan mereka berkongsi sebuah tanah air yang sama,” tegasnya.
0 Comments