Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Peningkatan kos operasi mendadak dan kekurangan bekalan air yang semakin meruncing menyebabkan hampir 90 peratus pesawah di Kedah, termasuk di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) belum memulakan penanaman padi bagi Musim 1/2026.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, situasi itu bukan sahaja menjejaskan jadual penanaman, malah berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap tahap sara diri beras (SSR) negara.
“Paras air empangan yang rendah antara masalah yang kita hadapi. Empangan Muda masih berada pada tahap kritikal dan keutamaan diberikan kepada kegunaan domestik berbanding pengairan sawah.
“Sekalipun air dilepaskan dalam masa terdekat, pesawah masih tidak mampu mengusahakan sawah kerana kos yang terlalu tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Himpunan Aman Pesawah di Kampung Alor Setoi, di sini, hari ini.
Perhimpunan tersebut merupakan kali ketiga dianjurkan bagi mengetengahkan kesulitan dihadapi pesawah di kawasan jelapang padi.
Menurut Abdul Rashid, pesawah di kawasan MADA sepatutnya sudah memulakan penanaman mengikut jadual ditetapkan, iaitu Fasa Satu bermula 15 April, diikuti Fasa Dua (29 April) dan Fasa Tiga (13 Mei).
Tambah beliau lagi, peningkatan kos penggunaan jentera menjadi antara beban utama apabila kadar sewaan traktor meningkat sehingga 66 peratus, manakala kos mesin menuai pula naik sekitar 38 peratus.
“Lonjakan ini menyebabkan keseluruhan kos operasi meningkat lebih 50 peratus. Ini belum termasuk kos baja dan input lain.
“Dalam keadaan harga padi dan beras yang masih tidak berubah, pesawah tidak mampu menanggung beban ini,” ujarnya.
Abdul Rashid tegaskan, sekiranya harga padi dinaikkan, harga beras juga perlu diselaraskan atau kerajaan perlu campur tangan bagi menstabilkan keadaan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kehadiran hujan sejak beberapa hari lalu masih belum mencukupi untuk memulihkan keadaan tanah dan sistem pengairan.
“Taburan hujan yang lebih tinggi amat diperlukan bagi memulihkan kelembapan tanah serta memastikan bekalan air di tali air mencukupi.
“Buat masa ini, keadaan masih belum mengizinkan untuk pesawah memulakan penanaman walaupun sudah memasuki bulan Mei,” katanya.
Sehubungan itu, PeSAWAH menggesa Kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil tindakan segera menangani isu peningkatan kos demi memastikan bekalan makanan negara terus terjamin.
“Kita perlu menjaga kedaulatan makanan seperti mana kita menjaga kedaulatan negara. Beras adalah makanan asas rakyat, pesawah merupakan benteng utama dalam memastikan bekalan itu mencukupi,” katanya.
Berdasarkan data di laman sesawang MADA, tiga empangan di bawah seliaannya merekodkan kadar takungan air keseluruhan sebanyak 38.36 peratus.
Empangan Pedu mencatatkan 39.36 peratus, Empangan Muda hanya 8.24 peratus, manakala Empangan Ahning merekodkan takungan 51.31 peratus.
Sementara ADUN Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood Al Hafiz berkata, kenaikan harga diesel telah memberi kesan besar kepada kos pengurusan sawah daripada membajak, menanam sehingga menuai.
“Semuanya bergantung kepada jentera yang memerlukan bahan api. Harga lantai belian padi pula masih kekal rendah sekitar RM1,500 per tan. Ini menyebabkan pulangan diterima pesawah tidak berbaloi, malah ada sekadar cukup-cukup untuk tampung kos, tanpa keuntungan setimpal dengan penat lelah mereka,” katanya.
Justeru katanya, pesawah menuntut agar harga lantai padi dinaikkan kepada RM3,000 per tan, selari dengan peningkatan kos semasa, selain pemberian subsidi diesel khusus kepada jentera pertanian.
“Ini penting bagi memastikan kelangsungan hidup mereka terus terjamin dan sektor pertanian negara tidak terus terhimpit. Perjuangan ini bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk masa depan generasi akan datang agar sawah terus berbakti, dan pesawah terus dihargai,” katanya.

0 Comments