INDUSTRI HARUMANIS KUKUHKAN EKONOMI PERTANIAN KEDAH

 

Oleh: Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM6.425 juta bagi pembangunan sektor pertanian melibatkan 11 daerah termasuk Ibu Pejabat Jabatan Pertanian Negeri, sekali gus memperkukuh industri agromakanan dan meningkatkan produktiviti pengusaha tani di negeri ini.

Peruntukan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani sempena perasmian Fiesta Mempelam Kedah 2026 (FMK 2026) yang turut menyaksikan penyerahan anak pokok mempelam Harumanis kepada penerima sebagai insentif di bawah program tanaman agromakanan negeri.

Menurut Dzowahir, industri Harumanis Kedah terus mencatat pertumbuhan positif dengan keluasan tanaman mencecah 109.37 hektar melibatkan 290 pengusaha.

"Pengeluaran Harumanis kini mencecah sebanyak 143,000 kilogram semusim dengan nilai sekitar RM4.29 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan FMK 2026 di Ladang Harumanis D’Aman, Alor Mengkudu, di sini, hari ini.

Dzowahir berkata, jenama Harumanis D’Aman telah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 11 April 2023, sekali gus memperkukuh kedudukan produk tempatan serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti Harumanis Kedah.

Menurutnya lagi, pemindahan lokasi program dari Pusat Mempelam Kedah di Yan ke ladang sebenar memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman langsung industri penanaman Harumanis.

"Langkah ini bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan sektor pertanian moden, malah memberi nilai tambah kepada industri agropelancongan negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri optimis penganjuran program seumpama itu mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri Harumanis serta memperkukuh Kedah sebagai destinasi agropelancongan unggul negara.

Penganjuran FMK 2026 yang bermula pada 30 April hingga 3 Mei, menampilkan pelbagai aktiviti termasuk kursus teknologi pertanian, jualan benih, pertandingan berasaskan mempelam, larian 'Mempelam Kedah Run' serta pameran agensi.

Post a Comment

0 Comments