KEKUATAN SEBENAR LANGKAWI: PELANCONGAN DAN KEHARMONIAN BUDAYA

 

Oleh: Roslinda Hashim 

LANGKAWI - Kekuatan sebenar Langkawi bukan sekadar memiliki destinasi pelancongan pelbagai, tetapi juga menggabungkan elemen keharmonian budaya masyarakat pelbagai kaum.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO, Wong Chia Zhen berkata, kebudayaan merupakan aset penting yang memperkayakan identiti tempatan, manakala keindahan semula jadi di Langkawi kekal menjadi tarikan utama pelancong dari dalam mahupun luar negara.

“Inilah kekuatan sebenar Langkawi, bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi juga cerminan keharmonian budaya yang hidup dan berkembang bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan Kebudayaan Laut dan Darat sempena Perayaan Dewi Thean Hou, di sini.

Menurut Chia Zhen, program tersebut bukan sahaja mengangkat warisan budaya masyarakat Cina, malah memperlihatkan keharmonian masyarakat majmuk yang terus subur di pulau pelancongan itu.

“Walaupun komuniti Cina merupakan kelompok minoriti di Langkawi, namun semangat memelihara dan menganjurkan kebudayaan tetap subur serta dihargai,” Katanga.

Tambah beliau, lebih bermakna apabila perarakan budaya yang dianjurkan buat pertama kali itu berjaya mencipta sejarah tersendiri sebagai simbol keterbukaan dan perpaduan kepelbagaian masyarakat di Langkawi.

Katanya, usaha memartabatkan warisan budaya pelbagai kaum perlu terus diperkasakan bagi memastikan identiti serta keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Post a Comment

0 Comments