ANWAR BUKAN LAGI MEMIMPIN, HANYA BERTAHAN TEKANAN POLITIK DALAMAN - SANUSI

 

Oleh: Roslinda Hashim

LANGKAWI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini bukan lagi berada dalam keadaan memimpin kerajaan, sebaliknya hanya bertahan daripada tekanan politik dalaman dan luaran yang semakin memuncak.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tekanan terhadap Presiden PKR itu bukan sahaja daripada pembangkang, malah turut melibatkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sendiri.

Menurut beliau, situasi itu memperlihatkan kedudukan Anwar semakin goyah apabila terpaksa berdepan tekanan daripada DAP, UMNO serta kem dalam PKR sendiri.

“Anwar sekarang bukan lagi memimpin tetapi sedang bertahan. Bertahan bukan sahaja daripada musuh politik tetapi juga tekanan dalam PH (Pakatan Harapan) sendiri termasuk DAP, UMNO dan partinya sendiri.

“Dia tidak lagi memimpin sekarang ini, hanya ‘defend’ sahaja. Kalau PN dan PAS terus agresif, lagi cepat dia akan tumbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sembang Santai dan Amanat Pilihan Raya Jentera PRU16 PAS Kawasan Langkawi di sini, pada Ahad.

Pengerusi PN Kedah itu juga tidak menolak kemungkinan Anwar berdepan tekanan berganda susulan serangan terbuka tanpa henti dilakukan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli sejak kebelakangan ini.

Katanya, tidak mustahil Rafizi akan mencabar Anwar di kerusi Parlimen yang ditandingi Perdana Menteri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti selepas apa yang berlaku antara kedua-dua pemimpin itu.

“Tidak mustahil Rafizi akan bertanding di tempat Anwar bertanding. Kalau Anwar bertanding di Tambun, mungkin Rafizi juga berada di Tambun. Anwar kebiasaan tak bertanding setempat, berubah-ubah kerusi bertanding, sebelum ini di Port Dickson. 

“Sebab itu saya katakan, Anwar berdepan tekanan bukan sahaja daripada luar, juga dari dalam. Bukan senang hendak tundukkan Rafizi sebab dia masih muda, bersemangat dan tak mudah mengalah. Anwar ibarat singa tua, Rafizi pula ibarat singa muda yang sedang ganas,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, UMNO pula cuba memainkan sentimen politik Melayu untuk memulihkan sokongan akar umbi menjelang pilihan raya akan datang.

Menurutnya, tindakan parti itu yang dilihat cuba menjauhkan diri daripada DAP hanyalah strategi politik bagi meraih semula undi Melayu di beberapa negeri termasuk Melaka dan Johor.

“Saya lihat ini hanyalah seni politik UMNO untuk raih undi Melayu kononnya tak mahu DAP. Hakikatnya UMNO  tak mampu pulih lagi untuk bertanding solo. Mereka juga ketandusan pemimpin berkaliber di banyak negeri termasuk Kedah.

“UMNO cuba ‘test market’ di Negeri Sembilan namun ia rumit sebab adanya Adat Perpatih. Mula-mula krisis perlembagaan (krisis adat) kemudian dibawa masuk krisis politik, UMNO cuba ambil kesempatan jatuhkan PH,” katanya.

Tambah Sanusi, UMNO bukan sahaja tiada pemimpin berkaliber yang mampu menjadi ketua, malah tiada pengikut yang konsisten.

“UMNO tak ada pemimpin, tak ada ‘follower’. Di Kedah ada lah beberapa influencer politik bercakap bagi pihak UMNO, jadi tak sunyi lah kita. Nampak ada lah juga UMNO tapi mereka (influencer) tak ada seni langsung, main pukul saja isu, jadi ceplos,” katanya lagi.

Mengulas landskap politik semasa, Sanusi berkata, DAP menjadi parti paling dominan dalam Kerajaan Perpaduan dengan 40 kerusi Parlimen, diikuti PKR dan UMNO yang menurutnya turut bergantung kepada sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk majoriti kerajaan.

“Pola politik dalam PH sedang bergerak ke arah bergolak, khususnya hubungan UMNO, PKR dan DAP.

“PAS kekal konsisten dengan 43 Ahli Parlimen, BERSATU pula daripada 30 kerusi kini tinggal lima susulan tindakan pemecatan dan penggantungan ahli Parlimennya.

“Kemungkinan akan wujud parti baharu selepas BERSATU berpecah dua, itulah pergerakan politik negara hari ini,” ujar beliau. 

Dalam mendepani pola perubahan politik semasa, katanya, PAS akan terus melahirkan pelapis muda untuk diketengahkan sebagai pemimpin masa depan. 

“Angkatlah pemimpin muda, bagi peluang untuk mereka berkembang kerana mereka akan menjadi pelapis pemimpin sedia ada. PAS akan terus mencari pelapis untuk kita gilap demi masa depan parti.

“Tapi nak ganti saya payah sikit lah, saya macam-macam boleh, bernyanyi, main bola, ragbi, masuk hutan dan ride motosikal,” katanya berseloroh.

Menurut Sanusi, setiap ahli PAS mempunyai kelebihan masing-masing dan kemungkinan kelebihan yang ada pada setiap individu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan parti.


“Kita perlu terus cungkil dan bangunkan kelebihan pada setiap ahli untuk mereka menjadi hebat,” tegasnya.

Post a Comment

0 Comments