"JANGAN HANYA TAHU BINA PERSEPSI, TURUN KE LAPANGAN"

 

SANUSI 'SEKOLAHKAN' PETRA: 

Oleh: Zulkifli Yahaya

Ketua Penerangan PAS Kedah

ALOR SETAR – "Dia bercakap macam orang tak pernah jejak selut." 

Itu reaksi balas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap kritikan pihak kementerian mengenai kelewatan projek Loji Rawatan Air (LRA) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini.

Menerusi satu penjelasan terbuka, Sanusi menyelar tindakan segelintir pihak di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang didakwa cuba membina naratif negatif kononnya Kerajaan Negeri lemah mengurus projek sehingga rakyat menderita.

Lantikan Kontraktor Secara Tender Terbuka

Tegas Sanusi, pelantikan kontraktor di Kedah bukan dibuat atas dasar 'pilih kasih' atau pelantikan terus, sebaliknya melalui sistem tender terbuka yang sangat kompetitif.

"Lantik kontraktor ini bukan sistem 'petik'. Ia melalui tender terbuka, prosedur ketat. Syarikat yang masuk itu ada lesen, ada keupayaan, dan mereka menang sebab kriteria yang kita tetapkan," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kelewatan yang berlaku bukan berpunca daripada sabotaj pentadbiran, tetapi melibatkan isu teknikal yang turut dihadapi negeri-negeri lain termasuk Johor dan Pulau Pinang.

Isu VOP: Bukan Hanya Berlaku di Kedah 

Menjawab isu projek 'sangkut', Sanusi mendedahkan cabaran utama adalah membabitkan *Variation of Price* (VOP) atau pelarasan harga barang binaan yang melambung tinggi. Faktor ekonomi ini menyebabkan banyak kontraktor berdepan masalah aliran tunai untuk menyiapkan kerja mengikut jadual asal.

"Di Johor ada projek berjalan, di Pulau Pinang pun ada pertambahan anggaran kos. Kenapa bila kena dekat Kedah, ia jadi isu kelemahan pentadbiran? Benda ini (VOP) biasa dalam kontrak. Bila kontraktor tak mampu, kita ada SOP sama ada terminate (tamat kontrak) atau bagi ruang mengikut prosedur yang betul," tambah beliau lagi.

Nasihat Kepada 'Budak Khianat'

Secara sindiran, Sanusi turut menyentuh mengenai kewujudan individu dalam kementerian yang beliau gelar sebagai "budak khianat" kerana menyalurkan maklumat tidak tepat kepada menteri semata-mata untuk memburukkan imej Kedah.

Beliau mengingatkan pihak lawan agar tidak hanya pandai berteori di atas kertas, sebaliknya perlu faham realiti sebenar di tapak binaan yang penuh dengan cabaran teknikal.

"Jangan hanya tahu cari persepsi kononnya dia baik, projek lulus zaman dia. Turun tengok selut dulu, faham proses, baru cakap," tegas beliau.

Kerajaan Negeri Kedah kini tetap komited memastikan projek LRA yang sedang berjalan disiapkan mengikut garis masa yang telah dilaraskan, demi memastikan bekalan air kepada rakyat tidak terganggu dalam jangka masa panjang.

Post a Comment

0 Comments