Oleh: Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri kesal dengan cubaan berterusan pihak tertentu yang sengaja memberi tumpuan kepada isu projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah tanpa menilai secara adil pelbagai projek sakit Persekutuan yang turut tertangguh sejak sekian lama.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, pembangunan infrastruktur dan keperluan asas rakyat tidak seharusnya dijadikan bahan serangan politik bermusim bagi membina persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri.
“Jika mahu menegakkan prinsip kebertanggungjawaban secara jujur, semua projek sakit sama ada di bawah Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan perlu dinilai secara adil, profesional dan telus.
“Fokus utama semua pihak seharusnya kepada usaha penyelesaian menyeluruh demi kepentingan rakyat, bukannya membina persepsi sempit yang hanya mengelirukan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, rakyat juga berhak mengetahui terdapat beberapa projek besar di bawah kendalian Kerajaan Persekutuan di Kedah yang masih gagal disiapkan sehingga kini.
Antaranya, Klinik Kesihatan Padang Serai yang masih belum siap, Rumah Seri Kenangan Bedong yang terbengkalai, Projek Mahkamah Sik yang tertunda selain Projek Tebatan Banjir Pendang tertangguh sejak 2011 serta Projek Tebatan Banjir Anak Bukit yang masih belum selesai.
“Persoalannya, mengapa isu-isu ini tidak diberikan perhatian dan penilaian yang sama secara menyeluruh?” soal beliau.
Mengulas perkembangan projek LRA di Kedah, Mohamad Yusoff menjelaskan, LRA Lubuk Buntar telah siap dan beroperasi sepenuhnya manakala LRA Jenun Baharu dijangka mula beroperasi penuh hujung bulan ini.
Sementara, projek LRA Pelubang pula menunjukkan perkembangan positif dan dijangka siap sepenuhnya Disember depan.
“Hanya dua projek, iaitu LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau berdepan masalah pelaksanaan susulan isu prestasi kontraktor, bukannya berpunca daripada kelemahan Kerajaan Negeri atau agensi pelaksana,” jelasnya.
Tambahnya, semua tindakan pemulihan termasuk penamatan kontrak, permohonan Extension of Time (EOT), Variation of Price (VOP), Notice of Change (NOC) serta penyelarasan semula projek dilaksanakan mengikut prosedur, tatakelola dan syarat kontrak ditetapkan.
“Sebarang cubaan membina persepsi bahawa Kerajaan Negeri Kedah gagal secara keseluruhan adalah tidak tepat, bersifat selektif dan lebih menjurus kepada agenda politik berbanding usaha penyelesaian sebenar,” katanya.
Mohamad Yusoff tegaskan, Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan agenda pembangunan bekalan air, infrastruktur awam serta kesejahteraan rakyat dilaksanakan dengan penuh amanah, integriti dan berkesan.
“Kerajaan Negeri berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan peruntukan kewangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Bahagian IV, Artikel 109 dan lain-lain berkaitan.
“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan bantu Kerajaan Negeri secara saksama.
Pada masa sama Kerajaan Negeri juga mempunyai tanggungjawab terhadap Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Pada 7 Mei, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan perlu menambah kira-kira RM50 juta bagi menyelamatkan projek LRA Sungai Limau yang terbengkalai selepas kontrak asal ditamatkan tahun lalu.
Beliau memaklumkan, projek itu hanya mencapai kemajuan sekitar 25 peratus sebelum pembinaan dihentikan dan Kerajaan Persekutuan kini mengambil alih pengurusan projek termasuk proses pelantikan kontraktor penyelamat.
Pada 13 Mei pula, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menempelak tindakan Akmal Nasrullah yang hanya memberi tumpuan kepada isu LRA Sungai Limau dan Bukit Selambau sedangkan terdapat sekurang-kurangnya lima projek Persekutuan lain di Kedah masih gagal disiapkan.
Terbaharu pada 20 Mei, Akmal Nasrullah sekali lagi memuat naik video tinjauan beliau ke tapak LRA Sungai Limau di media sosial miliknya, membidas Kerajaan Negeri berhubung kelewatan projek berkenaan.

0 Comments