Oleh: Dr Khalid Hamka
Penganalisa Politik
Menjawab tulisan seorang Ceplos yang mendakwa Kerajaan Negeri Kedah “gagal” kerana projek Pusat Data Maxland tidak diteruskan sebenarnya terlalu simplistik dan gagal memahami realiti sebenar pembangunan ekonomi moden. Sejujurnya bukan Syam sahaja gagal faham, malah ramai yang masih kabur dan salah faham mengenai potensi pusat data secara keseluruhan.
Dalam era persaingan pelaburan global hari ini, kejayaan sesebuah negeri bukan diukur semata-mata berdasarkan nilai pelaburan atas kertas, tetapi sejauh mana pelaburan tersebut memberikan manfaat optimum kepada rakyat, penggunaan sumber strategik negeri serta pembangunan ekonomi jangka panjang yang mampan.
Pertama, dakwaan bahawa projek pusat data bernilai RM20.25 bilion itu terbatal semata-mata kerana Kedah gagal menyediakan air dan elektrik tidak menggambarkan keseluruhan konteks sebenar. Menteri Besar Kedah menjelaskan bahawa cadangan penggunaan lebih 400 ekar tanah industri strategik di Fasa 5 Kulim Hi-Tech Park untuk pembangunan pusat data akan menyebabkan “opportunity cost” atau kos melepas yang terlalu besar kepada negeri.
Dengan keluasan tanah yang sama, Kedah berpotensi menarik industri semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), automasi serta pembuatan maju yang mampu menjana sehingga 15,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, berbanding hanya sekitar 1,000 pekerjaan melalui pembangunan pusat data. Ini merupakan pertimbangan ekonomi strategik, bukan alasan politik. Sekali lagi angka tidak boleh menipu.
Hakikatnya, Kedah hari ini bukan negeri yang gagal menarik pelaburan. Prestasi pelaburan negeri bagi tahun 2025 membuktikan Kedah terus muncul sebagai antara negeri paling kompetitif di Malaysia. Kedah mencatat kedudukan No.1 sektor pembuatan negara dengan nilai pelaburan sebanyak RM24.62 bilion melibatkan 84 projek yang berpotensi mewujudkan lebih 14,017 peluang pekerjaan.
Secara keseluruhan pula, sebanyak RM27.8 bilion pelaburan telah diluluskan melibatkan 397 projek, sekali gus meletakkan Kedah di kedudukan kelima tertinggi di Malaysia sebagai antara destinasi pelaburan paling berdaya saing di negara ini. Data ini secara jelas menolak dakwaan bahawa Kedah gagal menarik pelaburan atau kehilangan keyakinan pelabur. Hanya kerana pembatalan satu perjanjian tidak beri maksud kerajaan negeri gagal. Ini adalah satu falasi yang cuba Syam sebarkan.
Kedua, hujah bahawa 1,000 pekerjaan pusat data “gaji tinggi” telah “terbang” juga perlu dilihat secara objektif. Memang benar pusat data menyediakan beberapa pekerjaan teknikal seperti jurutera sistem, keselamatan siber dan pengurusan AI. Namun pusat data moden sangat bergantung kepada automasi dan tidak menggunakan tenaga kerja dalam jumlah besar.
Sebaliknya, industri semikonduktor dan pembuatan teknologi tinggi yang berkembang di Kedah melalui syarikat global seperti Intel, Infineon Technologies dan AT&S bukan sahaja menawarkan pekerjaan teknikal berpendapatan tinggi, malah membina keseluruhan ekosistem vendor tempatan, latihan teknikal, penyelidikan serta pemindahan teknologi kepada rakyat tempatan. Kesan gandaan ekonomi sektor ini jauh lebih luas dan mampan kepada negeri.
Ketiga, dakwaan bahawa pusat data ialah “minyak baharu” negara juga perlu difahami secara lebih seimbang. Bank Negara Malaysia dalam laporan From Bytes to Bucks: The Economics of Data Centres in Malaysia sendiri mengakui sektor pusat data berkembang pesat, tetapi turut memberi amaran mengenai dua risiko besar kepada negara iaitu penggunaan air dan tenaga yang amat tinggi serta kelemahan rantaian bekalan domestik.
Menurut Bank Negara Malaysia, sebuah pusat data bersaiz sederhana sekitar 50MW menggunakan tenaga elektrik bersamaan kira-kira 22,000 isi rumah. Manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara melaporkan 104 pusat data di Malaysia menggunakan sekitar 876 juta liter air sehari pada tahun 2025. Ini membuktikan kebimbangan Kedah terhadap kelestarian air dan tenaga bukan retorik politik, tetapi isu sebenar yang turut dibimbangi di peringkat nasional dan global.
Sebab itu negeri seperti Johor sendiri mula mengetatkan kelulusan pusat data tertentu selepas menyedari tekanan besar terhadap sumber air negeri. Media antarabangsa melaporkan Johor menghentikan kelulusan pusat data Tier 1 dan Tier 2 kerana penggunaan air yang terlalu tinggi berbanding pusat data yang lebih cekap tenaga. Ini menunjukkan Kedah bukan bersendirian dalam mengambil pendekatan berhati-hati terhadap pembangunan pusat data berskala besar.
Keempat, dakwaan bahawa kejayaan pelaburan Kedah hanyalah hasil usaha Kerajaan Persekutuan juga tidak tepat. Kejayaan Kulim Hi-Tech Park dibina hasil kerjasama pelbagai pihak sejak puluhan tahun, termasuk Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi pelaburan. Negeri tetap memainkan peranan penting dalam penyediaan tanah industri, kestabilan dasar, perancangan pembangunan serta ekosistem pelaburan.
Jika benar Kedah gagal mengurus pelaburan, mustahil negeri itu mampu muncul sebagai peneraju pelaburan sektor pembuatan negara pada tahun 2025. Prestasi ini membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Kedah masih kukuh, khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor dan teknologi pembuatan maju. Syam mungkin hilang ingatan ketika Kedah no 1 dalam sektor pembuatan negara.
Akhir sekali, tanggungjawab kerajaan bukan meluluskan semua projek yang datang tanpa penilaian, tetapi memilih pelaburan yang paling memberi manfaat kepada rakyat dan masa depan negeri. Pelaburan yang baik bukan semata-mata paling besar nilainya atas kertas, tetapi pelaburan yang memberi keseimbangan antara peluang pekerjaan, pembangunan teknologi, penggunaan sumber strategik dan kelestarian jangka panjang.
Dalam konteks ini, keputusan Kedah melepaskan projek pusat data berskala besar bukan tanda kegagalan, sebaliknya memperlihatkan pendekatan pembangunan yang lebih strategik, matang dan berpandangan jauh demi memastikan tanah, air dan tenaga negeri digunakan untuk industri yang memberi manfaat terbesar kepada rakyat Kedah pada masa depan.
Belajar lagi Syam. Jangan lihat Kedah dengan mata lalat tetapi lihatlah dengan mata lebah. Sekali lagi angka tidak boleh menipu, maka lihatlah dengan hati yang bersih, tulus dan suci.
Alor Setar, Kedah

0 Comments