Oleh: Roslinda Hashim
PADANG TERAP - Sambutan Songkran di negeri ini tidak wajar disamakan dengan festival hiburan seperti Festival Muzik Rain Rave kerana ia merupakan program tradisi masyarakat Siam yang diadakan secara tertutup di kawasan wat.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cubaan pihak tertentu mengaitkan sambutan Songkran dengan festival hiburan tersebut yang melibatkan pergaulan bebas adalah berniat jahat dan cuba memburukkan imej Kerajaan Negeri.
Malah katanya, dakwaan Kerajaan Negeri meluluskan dana RM70,000 untuk ‘pesta air’ itu juga meleset kerana peruntukan berkenaan adalah untuk kebajikan dan program masyarakat Siam di negeri ini.
“Masyarakat Siam di Kedah telah mengamalkan tradisi itu sejak sekian lama dan program berkenaan berlangsung dalam kawasan komuniti mereka sendiri tanpa mengganggu masyarakat lain.
“Songkran itu tradisi orang Siam sejak berzaman. Mereka buat program dalam wat Siam secara tertutup untuk masyarakat mereka.
“Kita hormati masyarakat Buddha. Mereka tidak ganggu masyarakat Melayu dan kita juga tidak kacau kehidupan mereka. Semua hidup aman dan bebas,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Padang Terap, pada Rabu.
Sanusi berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu yang cuba menyamakan sambutan Songkran dengan Festival Rain Rave di ibu negara yang sebelum ini mencetuskan kontroversi.
Menurut beliau lagi, Festival Rain Rave berbeza kerana ia melibatkan acara hiburan terbuka dengan percampuran bebas peserta serta persembahan artis yang menyembur air kepada orang ramai.
“Kita tak buat program macam itu. Rain Rave melibatkan orang ramai bercampur gaul dan melompat-lompat. Songkran pula dibuat secara tertutup dalam kawasan wat untuk komuniti mereka sahaja.
“Kita di Kedah hidup harmoni tak ada masalah, tetapi orang luar Kedah yang mari kacau kita dengan pelbagai tuduhan, reka cerita macam-macam untuk burukkan Kedah.
“Saya pun hairan ada orang (bukan Siam) yang masuk wat rakam video dan gambar, buat apa?,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi turut menjelaskan pendirian beliau berhubung sambutan Songkran.
“Saya maklum kepada Exco, kalau program kebudayaan kaum lain saya boleh hadir. Kalau melibatkan upacara agama, saya tak boleh hadir dan mereka faham pendirian itu,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyindir tindakan segelintir pemimpin yang didakwa sanggup menghadiri majlis keagamaan agama lain semata-mata mahu meraih sokongan politik.
“Jangan berlakon semata-mata mahu ambil hati dan raih undi sampai berbuka puasa di kuil atau gurdwara Sikh. Itu bukan keharmonian, itu lakonan.
“Di Kedah, kalau tak boleh, kita bagitahu tak boleh. Jangan halalkan semua benda kerana undi,” katanya.
Beliau tegaskan, tindakan sebegitu menjurus kepada fahaman liberalisme dan pragmatisme politik yang boleh merosakkan prinsip serta nilai kemasyarakatan.
“Biarlah mereka kecam dan buat tuduhan pelbagai terhadap Kedah. Sampai masanya nanti rakyat Kedah akan buat pilihan (pilihan raya). Saya yakin Pakatan Harapan (PH) dan UMNO akan kalah seteruk-teruknya dan sudah tiada tempat lagi untuk mereka,” katanya.

0 Comments